Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel asah kaedah, teknik pidato

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Dengan matlamat untuk melahirkan golongan pemidato dengan kaedah dan teknik berpidato yang berkesan dan menepati kriteria pertandingan, Pusat Sejarah Brunei (PSB) telah mengungkayahkan Bengkel Pidato Sejarah selama dua hari bermula hari ini.

    Diadakan di Dewan Jawatan Dalam, PSB, bengkel telah dihadiri oleh 49 orang peserta terdiri daripada golongan belia berumur 18 hingga 35 tahun yang merupakan para pelajar Tahun 9 hingga 11 di sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta di negara ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis pembukaan bengkel berkenaan ialah Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong yang menyatakan bahawa PSB akan menganjurkan pertandingan Pidato Sejarah Piala Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi kali ke-4 dengan tema Sejarah Pemangkin Kemajuan Negara.

    Dalam ucapan perasmiannya, beliau menjelaskan bahawa tujuan pertandingan itu adalah sebagai salah satu media atau kaedah secara praktikal lagi berkesan dalam menanam semangat keBruneian melalui kefahaman dan penghayatan tentang sejarah Brunei dalam kalangan para pelajar dan masyarakat di negara ini.

    “Ini kerana sejarah itu warisan yang perlu diketahui, difahami dan dipelajari oleh semua lapisan masyarakat sebagai iktibar, panduan, teladan dan sukat-sukat khususnya dalam pembentukan dan pengukuhan kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara bersandarkan Maqasid Syariah sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” ujar beliau.

    Dr Siti Badriyah binti Haji Mohd Yussof, salah seorang fasilitator semasa menyampaikan sesi bengkel berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Menurutnya, sebagai persediaan, bengkel itu diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta bagi mendalami dan menghalusi ilmu penyampaian dan penghayatan pidato dengan teknik serta kaedah yang mampu memberi impak lebih berkesan kepada para audiens.

    Beliau turut berharap melalui bimbingan daripada para fasilitator bengkel, para peserta dapat menjadikannya sebagai satu medan yang cukup berharga dan penting untuk diraih bagi mempertingkat dan mempertajamkan lagi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang berpidato.

    Sepanjang bengkel berlangsung, empat orang fasilitator ditetapkan untuk mengongsikan tajuk masing-masing terutamanya dalam sama-sama mengasah, memupuk dan mengembangkan bakat dan kreativiti para peserta dalam menyampaikan hasil kajian sejarah Brunei secara berpidato.

    Dengan adanya bengkel berkenaan, para peserta dibimbing untuk membuat tafsiran dan penilaian semula secara kritis terhadap suatu peristiwa bersejarah negara dengan menggunakan kaedah penyelidikan dan kajian sejarah yang tepat.

    Di samping itu, bengkel juga bertujuan untuk memperkenalkan bidang sejarah sebagai bidang yang menarik untuk dipelajari, dikaji dan difahami.

    Oleh yang demikian, dengan adanya kesedaran mengenai kepentingan persejarahan negara ini secara tidak langsung ia akan dapat mengukuhkan perasaan taat setia dan cintakan raja, agama, bangsa dan negara khususnya dalam kalangan peserta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda