Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel asah pelajar mahir debat bahasa Arab

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Seramai 83 orang pelajar dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB) telah menyertai Bengkel Asas Debat Bahasa Arab yang berlangsung selama dua hari, bermula pada 10 hingga 11 Jun bertempat di Perpustakaan SASHHB.

    Para peserta terdiri daripada ahli Nadi Lughah al-‘Arabiyyah, melibatkan pelajar dari Tahun 7 hingga Tahun 10.

    Bengkel tersebut bertujuan memberi pendedahan asas kepada teknik dan etika pendebatan dalam bahasa Arab serta memperkukuh kecekapan pengucapan, keyakinan diri dan kemahiran berfikir secara kritis.

    Bengkel dikendalikan oleh Marhalatul Kalam Enterprise selaku fasilitator utama yang diketuai oleh Dayang Mardhiah binti Rozalan, dan dilaksanakan dalam bentuk interaktif.

    Antara pengisian utama termasuklah pengenalan kepada seni debat, konsep dan format pendebatan, strategi membina hujah, serta sesi latihan praktikal yang memberi ruang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran mereka secara langsung.

    Menurut wakil Marhalatul Kalam Enterprise, bengkel itu bukan sahaja menyasarkan kemahiran teknikal semata-mata, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah dan komunikasi berkesan dalam kalangan pelajar.

    Ia diharap menjadi titik tolak kepada usaha melahirkan pendebat muda berkaliber yang mampu mewakili Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan di peringkat serantau dan antarabangsa.

    Dayang Mardhiah ketika menyampaikan pengisiannya dalam bengkel tersebut. – GAMBAR SERAHAN MARHALATUL KALAM ENTERPRISE
    Para peserta terdiri daripada ahli Nadi Lughah al-‘Arabiyyah. – GAMBAR SERAHAN MARHALATUL KALAM ENTERPRISE

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda