Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Sektor pelancongan Negara Brunei Darussalam terus menunjukkan tanda pemulihan dan pertumbuhan yang amat menggalakkan.
Sehingga Ogos 2025, Brunei telah mengalu-alukan seramai 28,714 orang pelawat dari China iaitu sumber pasaran terbesar kedua bagi Brunei yang merangkumi lebih 15.5 peratus jumlah keseluruhan ketibaan udara.
Dengan sebilangan besar, pelawat China melawat bagi tujuan percutian, sahabat/ saudara-mara atau perniagaan, serta dengan China menjadi pasaran sasaran utama bagi 2025, data itu menunjukkan kebangkitan semula dalam keyakinan pengembaraan dan mengukuhkan kesalinghubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara.
Perkara itu dijelaskan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dalam ucapannya di Pembukaan Bengkel Pembangunan Kapasiti dan Latihan Bahasa Cina bagi Profesional Pelancongan Negara Anggota ASEAN (AMS) yang berlangsung di Auditorium Laksamana College of Business, kelmarin.


Bengkel berkenaan merupakan kolaborasi Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan ASEAN-China Centre (ACC).
Acara pembangunan kapasiti serantau penting itu telah menghimpunkan seramai 60 orang pengurus produk dan pemandu pelancong dari ASEAN dan Timor-Leste dalam menyertai bengkel berkenaan secara fizikal, dengan 88 orang peserta lain menghadiri sesi atas talian.
Bengkel itu secara langsung menangani keperluan untuk mempersiapkan tenaga kerja pelancongan rantau untuk mengalu-alukan dan memberikan perkhidmatan secara efektif kepada pasaran pelancong China yang berkembang dengan pesat.
Bengkel itu bermatlamat untuk meningkatkan sektor pelancongan ASEAN dengan melengkapkan pengurus produk dan pemandu pelancong dengan empat kemahiran kritikal iaitu kompetensi asas Bahasa Cina, komunikasi rentas budaya efektif, meningkatkan kapasiti perkhidmatan serta kolaborasi serantau yang lebih kuat.


Setelah berjaya menamatkan bengkel berkenaan, adalah diharapkan ia dapat menghasilkan tenaga kerja pelancongan serantai yang lebih berkelengkapan dan profesional, berupaya untuk menyediakan pengalaman yang lebih menarik dan kaya bagi pelancong China, yang menyumbang kepada pertumbuhan mampan pelancongan ASEAN.
Jabatan Kemajuan Pelancongan terus komited kepada meningkatkan kualiti hospitaliti dan profesional pelancong di Negara Brunei Darussalam.
Ke arah itu, pelbagai program latihan telah dibangunkan bagi industri pelancongan untuk memastikan bahawa para profesional memiliki kemahiran diperlukan dan ilmu pengetahuan untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi, yang dapat memperkayakan pengalaman pelawat.








