Tuesday, April 29, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel bahasa isyarat sokong dasar pendidikan inklusif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Kementerian Pendidikan telah melaksanakan Dasar Pendidikan Inklusif sejak 1997 di mana ia membolehkan pelajar-pelajar berkeperluan khas untuk belajar bersama-sama rakan sebaya mengikuti pembelajaran aliran perdana mahupun aliran pendidikan khas di sekolah-sekolah kerajaan dan institusi pendidikan swasta.

    Setakat ini, seramai 2,882 orang pelajar berkeperluan khas telah berpeluang untuk belajar di institusi-institusi pendidikan peringkat rendah, menengah serta pengajian tinggi kerajaan.

    Dari jumlah itu, seramai 209 orang adalah pelajar berkeperluan khas pendengaran dengan pelbagai tahap gangguan pendengaran, jelas Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dr Eddy Fazlin bin Amdan dalam ucapannya di Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Pendidikan Khas Pendengaran dan Bengkel Bahasa Isyarat yang berlangsung di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Dr Eddy Fazlin menyampaikan ucapan.

    Beliau menyatakan lagi bahawa pelbagai inisiatif dan usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas termasuk siri bengkel asas bahasa isyarat bagi guru, pelajar dan ibu bapa, penyediaan alat bantuan pendengaran serta pembinaan sumber pembelajaran digital.

    Semua itu, tambahnya, adalah untuk membantu pelajar-pelajar berkeperluan khas pendengaran mendapat akses kepada ilmu pengetahuan, dapat mengikuti aktiviti-aktiviti sekolah dan mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran seperti yang digariskan dalam rangka kerja pendidikan khas iaitu berpandukan kepada prinsip APA iaitu Access, Participate dan Achieve selain dari Prinsip 5A iaitu Accessibility, Adapted Curriculum, Adapted Instruction, Adapted Assessment dan Acceptance.

    “Usaha ini mencerminkan komitmen tinggi Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan Dasar Pendidikan Inklusif selaras dengan Akta Pendidikan Wajib bagi memastikan semua kanak-kanak yang berumur lima tahun mendapat akses kepada pendidikan.”

    Dr Eddy Fazlin berkata lagi bahawa Jabatan Pendidikan Khas akan sentiasa giat dan aktif dalam merancang, menyediakan kemudahan serta program yang sesuai bagi memantapkan usaha inklusif berkenaan.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa salah satu cabaran yang dihadapi oleh guru dalam mendidik pelajar sensori pendengaran ialah kekurangan pengetahuan mengenai masalah pendengaran, pendekatan pengajaran yang berkesan dan kebolehan berkomunikasi khususnya dalam bahasa isyarat.

    Oleh itu, beliau berkata seminar dan bengkel berkenaan diharap akan dapat membina dan meningkatkan kecekapan para peserta iaitu guru dalam pendidikan khas pendengaran dan bahasa isyarat, seiring dengan matlamat untuk mencapai pendidikan inklusif bagi semua pelajar terutama yang mengalami masalah pendengaran.

    “Perkara ini juga selari dengan Matlamat Strategik Ke-3 Kementerian Pendidikan 2023-2027 iaitu membina dan meningkatkan tenaga manusia yang berkemahiran tinggi dalam mewujudkan pelajar-pelajar siap siaga masa depan,” tambah beliau.

    Dr Shamsiah Zuraini hadir selaku tetamu kehormat bagi acara berkenaan.
    Antara yang hadir ke acara bekenaan.
    Dr Shamsiah Zuraini melancarkan Seminar Kebangsaan Pendidikan Khas Pendengaran dan Bengkel Bahasa Isyarat.
    Ucaptama oleh Pesyarah Pendidikan Khas, Fakulty Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Syar Meeze Mohd Rashid.
    Pameran menunjukkan Bahasa isyarat. – GAMBAR-GAMBAR DARI MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda