BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Kira-kira 20 orang pelajar yang memerlukan bimbingan dalam pembelajaran di Sekolah Arab Rimba telah menyertai bengkel bertajuk ‘Kemahiran Belajar untuk Pelajar Sekolah Menengah’, baru-baru ini.
Bengkel diadakan oleh Biro Pendidikan dan Pembangunan Persatuan MAWAR yang telah menjemput pensyarah kanan di Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Dr Mohamad Zahir Zainuddin untuk mengendalikan bengkel tersebut.
Menurut kenyataan yang diberikan, bengkel merupakan sokongan dan bantuan persatuan MAWAR kepada ibu-ibu yang mempunyai anak-anak yang memerlukan bimbingan dalam menghadapi pembelajaran mereka.
Dengan teknik-teknik yang dikongsikan dalam bengkel berkenaan, para pelajar diharap akan lebih kreatif, berdaya saing dan memperbaiki diri serta pembelajaran mereka dan lebih bersedia menghadapi peperiksaan pada tahun ini.
