Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel bantu kembangkan pengetahuan kewangan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BELAIT, 23 JULAI – Bank Baiduri dengan kerjasama BSP Women In-Fokus Network telah mengadakan bengkel kewangan di Ibu Pejabat Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Seria, hari ini, dalam usaha membantu wanita memecahkan benteng yang menghalang dalam kejayaan kewangan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, bengkel memfokuskan kepada asas-asas kewangan peribadi terutama mengenai topik memahami bagaimana mencapai matlamat kewangan, merancang untuk persaraan, mempelajari asas-asas dalam perancangan pelaburan serta memahami risiko sendiri.

    Bengkel diakhiri dengan perundingan secara peribadi dengan perancang kewangan Bank Baiduri.

    Mengulas mengenai objektif kolaborasi itu, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Strategik Kumpulan, Bank Baiduri, Ng Yick Wei berkata, “Literasi kewangan adalah fokus besar bagi kami sebagai institusi kewangan. Dalam konteks keputusan kewangan jangka panjang seperti perancangan persaraan, pelaburan, simpanan dan pengumpulan harta, wanita boleh mendapat manfaat daripada meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tawaran kewangan.

    “Objektif kami adalah untuk membantu mereka mengembangkan pengetahuan kewangan mereka supaya mereka menjadi lebih efektif dalam menguruskan kewangan mereka sendiri,” tambah beliau.

    Semasa bengkel itu, para jemputan diberikan salinan buku kecil mengenai pendidikan kewangan bertajuk ‘Kekuatan Wanita’ yang mana buku berkenaan telah dilancarkan awal tahun ini sempena Hari Wanita Antarabangsa.

    Buku berkenaan mengandungi templat untuk mengira anggaran, menyimpan dan tip perbelanjaan serta idea membantu wanita dalam perjalanan mereka ke arah menjadi lebih yakin dari segi kewangan.

    Kakitangan Bank Baiduri memberikan penerangan mengenai kesedaran dan pengetahuan kewangan semasa bengkel tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda