Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Bengkel bantu kembangkan pengetahuan usahawan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Sebagai kerjasama berterusan untuk mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, Darussalam Enterprise (DARe) dan Bank Baiduri telah mengadakan Bengkel Pelaburan Angel
    kedua di Auditorium Utama, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, baru-baru ini.

    Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Daniel Leong menerangkan bahawa salah satu daripada aspek utama menjadi seorang usahawan adalah untuk belajar mengenai keupayaan bertutur dengan pelabur-pelabur atau organisasi kewangan yang lain.

    Jika usahawan itu mampu menyampaikan pembentangan perniagaan mereka dengan nada yang betul kepada pelabur, mereka mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapatkan sokongan yang tepat daripada organisasi berkenaan supaya dapat mengangkat syarikat me-reka ke tahap berikutnya, tambahnya.

    Daniel Leong seterusnya menerangkan bahawa walaupun sokongan kewangan merupakan sebahagian daripada pelaburan angel, tetapi ilmu pengetahuan dan kepakaran yang mereka berikan adalah lebih berharga dan ia mampu untuk menentukan kejayaan keseluruhan bagi perniagaan berkenaan dari segi kemapanan dan skalanya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan, Urus tadbir Korporat dan Sokongan Undang-Undang) Bank Baiduri, Manuel Bulens dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa di Bank Baiduri, mereka komited untuk menyokong aspirasi negara membina sebuah ekonomi yang mampan dan dinamik di bawah Wawasan Brunei 2035.

    Di antara peserta yang menghadiri Bengkel Pelaburan Angel kedua. – Gambar serahan DARe

    Bengkel Pelaburan Angel, jelasnya, merupakan salah satu inisiatif yang dilancarkan oleh mereka dengan kerjasama DARe untuk menghubungkan syarikat pemula yang berpotensi tinggi dengan bakal-bakal pelabur swasta yang mereka harap akan membantu merapatkan jurang pembiayaan bagi syarikat pemula dan perniagaan kecil yang ingin untuk berkembang.

    Bengkel itu telah dikendalikan oleh Adam Flinter dari Golden Equator dan Meredith Carson dari Epic Angels yang meliputi beberapa topik termasuk jenis-jenis pelabur angel dan faktor risiko bagi setiap jenis, peranan dan harapan pelabur angel-pra dan pasca pelaburan.

    Bengkel mengenai pelaburan angel yang pertama telah diadakan di Ruang Komuniti, Ibu Pejabat Baiduri pada 17 Mei lalu dalam satu sesi tertutup dengan beberapa tetamu Baiduri.

    Ia merupakan satu peluang untuk menjana kesedaran mengenai aktiviti-aktiviti dalam ekosistem DARe serta juga untuk mengongsi mengenai pelaburan angel.

    Bengkel kedua itu bermatlamat untuk mendidik orang ramai di mana individu dan PMKS yang hadir boleh mempelajari pandangan yang berharga mengenai bagaimana pelabur angel akan melihat perniagaan mereka dan bagaimana mereka akan menilai mereka dari segi minat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...