Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Bagi membantu memantapkan lagi usulan penyelidikan peringkat doktor falsafah dan sarjana bagi para pelajar institusi pengajian tinggi, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Pengajian Lepas Ijazah dan Penyelidikan serta Fakulti Pendidikan menganjurkan Nadwah Murabbi (Siri Penyelidikan) bertajuk ‘Paradigma Penyelidikan’ di Dewan Tarbiah, KUPU SB baru-baru ini.
Bengkel berkenaan dihadiri oleh para guru pengajian Islam di bawah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan para pelajar dari Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Universiti Teknologi Brunei dan KUPU SB. Turut hadir ialah Pemangku Penolong Ra’es KUPU SB, Dr Hajah Norwati binti Haji Abu Bakar dan pensyarah-pensyarah KUPU SB.
Hadir sebagai pemudah cara Nadwah ialah Pensyarah Kanan dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Isa bin Hamzah.
Antara objektif diadakan Nadwah berkenaan ialah untuk memberi kefahaman dan kesedaran terhadap kepentingan paradigma dan ontologi falsafah dalam pelaksa-naan penyelidikan, membandingkan perbezaan pendekatan kualitatif dan kuantitatif dan cabarannya dalam penyelidikan peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, memperkenalkan beberapa pendekatan paradigma yang sesuai digunakan dalam penyelidikan pendidikan secara umum dan pendidikan Islam secara khusus dan membina kerangka falsafah penyelidikan yang dapat membantu pelajar dalam memiliki reka bentuk kajian, memilih sampel kajian, memilih metodologi kajian dan mentafsir data kajian.
Bengkel berkenaan juga diharapkan dapat membantu para pelajar membina falsafah penyelidikan yang akan digunapakai sepanjang proses penyelidikan dan pemilihan reka bentuk kajian kualitatif, termasuk pemilihan pendekatan kualitatif dan kuantitatif sehingga peringkat mentafsirkan hasil dapatan kajian. Selain itu, bengkel berkenaan diharapkan dapat membantu menganalisis aliran paradigma penyelidikan terkini dan dapat membina kerangka falsafah penyelidikan mereka tersendiri.


