BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada pelajar wanita dan pensyarah telah menyertai dua bengkel pendidikan mengenai kempen kesedaran The OVAtruth: PCOS yang berlangsung di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Politeknik Brunei (PB), baru-baru ini.
Bengkel tersebut menampilkan penceramah kesihatan oleh pakar perubatan jemputan iaitu Ketua Jabatan dan Konsultan, Obstetrik dan Ginekologi dari Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Dr Lydia Suguna Chitra Karat.
Semasa bengkel itu, beliau membentangkan penerangan menyeluruh mengenai definisi PCOS, ciri-ciri klinikal, kriteria diagnosis, rawatan yang tersedia, serta komplikasi jangka panjang termasuk kesan terhadap kesihatan mental seperti kemurungan.
Antara mesej utama yang ditekankan oleh Dr Chitra ialah bahawa PCOS bukanlah diagnosis berdasarkan imbasan semata-mata, malah ia adalah diagnosis pengecualian yang memerlukan penilaian perubatan yang tepat. Beliau menasihatkan supaya orang ramai tidak mendiagnos sendiri dan tidak hanya mendapatkan rawatan apabila ingin hamil.
“Diagnosis awal membawa kepada rawatan yang lebih berkesan. Jika lewat dikesan, ia akan menjadi lebih sukar untuk dirawat,” jelas Dr Chitra.
Setiap sesi dihadiri oleh kira-kira 50 hingga 100 orang peserta, dengan majoriti terdiri daripada wanita muda berumur antara 19 hingga 25 tahun iaitu golongan sasaran utama dalam usaha menyampaikan kesedaran tentang PCOS memandangkan keadaan ini banyak menjejaskan wanita pada peringkat umur reproduktif.
Menerusi bengkel pendidikan itu, kempen The OVAtruth: PCOS dihasrat untuk menyebarkan maklumat yang tepat, menghapuskan salah faham, dan menggalakkan sokongan perubatan awal dalam kalangan belia wanita. Usaha ini diyakini dapat membantu lebih ramai wanita muda untuk membuat keputusan yang lebih baik berkaitan kesihatan reproduktif mereka.
Kempen itu dikendalikan oleh Kumpulan OVAchievers, iaitu sekumpulan pegawai kerajaan yang sedang mengikuti Program Eksekutif Muda Kohort ke-10 anjuran Institut Perkhidmatan Awam, yang komited dalam memperkasa kesedaran kesihatan wanita dan menyediakan ruang perbincangan yang inklusif dan selamat di Brunei Darussalam.



