Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel beri pendedahan mengenai karya syair sejarah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Seramai 24 orang belia menyertai Bengkel Menambang Syair Sejarah Brunei Tahun 2023 anjuran Pusat Sejarah Brunei (PSB) dengan kerjasama Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB) yang berlangsung di Galeri Sejarah, PSB.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran bengkel dua hari itu ialah Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong. Turut hadir ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Pejabat Sekretariat MTMIB, Dr Haji Ramlee bin Haji Tinkong.

    Para peserta terdiri daripada belia yang akan menyertai Pertandingan Menambang Syair Sejarah Brunei Tahun 2023 anjuran PSB dengan kerjasama Pejabat Sekretariat MTMIB dan dibimbing oleh dua orang fasilitator iaitu Awang Mohd Ali Zikruddin bin Haji Emran dan Dayang Noor Alifah binti Abdullah.

    Tujuan bengkel adalah sebagai persediaan bagi Pertandingan Menambang Syair Sejarah Brunei yang akan diadakan pada November dan Disember ini.

    Manakala itu, objektifnya adalah untuk memberikan pendedahan mengenai karya syair sejarah yang dihasilkan oleh penulis-penulis syair negara, menghargai usaha dan jasa para penulis syair negara dan menyediakan ruang dan peluang bagi para peminat dan belia untuk mewujudkan kemahiran serta memperluaskan pengetahuan mengenai teknik menambang syair melalui perkongsian ilmu antara pembimbing dan peserta.

    Bengkel juga diharap dapat memberikan pendedahan mengenai beberapa jenis dan teknik menambang syair termasuk alunan nada, intonasi dan gaya yang sesuai agar makna tersurat dan tersirat dapat disampaikan dengan baik dan berkesan dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan belia bagi mengukuhkan kecintaan kepada raja, agama, bangsa dan negara bersandarkan nilai-nilai keBruneian serta menggilap dan mengetengahkan bakat para belia dalam menambang syair.

    Dr Haji Ramlee dalam ucapannya berkata, bengkel merupakan kerjasama yang julung kalinya dianjurkan oleh PSB, KKBS dan Pejabat Sekretariat MTMIB dan Kementerian Pendidikan.

    Beliau percaya menerusi bengkel itu, para peserta akan didedahkan dengan beberapa jenis teknik dan gaya menambang syair yang pelbagai, termasuk alunan nada, intonasi penghayatan dan gaya penyampaian yang sesuai agar makna yang tersurat dan tersirat menerusi syair itu akan dapat disampaikan dengan baik dan berkesan.

    Dr Haji Ramlee menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa bengkel berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara peserta yang hadir bagi menyertai bengkel berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda