Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Seramai 20 orang ahli Disaster Preparedness Coordinator (DPC) yang terdiri daripada DPC 1, 2 dan 3 serta beberapa orang ketua kampung telah menyertai Bengkel Hala Tuju DPC bagi Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Temburong yang dikendalikan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) pada 22 Jun.
Bengkel berkenaan di-kendalikan oleh kumpulan fasilitator yang diketuai oleh Pegawai Kanan Pengurusan Bencana Kebangsaan, Dayang Rina Nurhafizah @ Rezza binti Abdul Rani dan beberapa orang staf NDMC.
Semasa bengkel berkenaan, perbincangan secara mendalam telah diadakan mengenai peranan utama DPC, cabaran, program atau aktiviti DPS di peringkat daerah, penubuhan jawatankuasa di peringkat daerah dan anugerah kepada projek-projek berpasukan DPC di peringkat daerah dalam masa dua tahun.
Menurut Ahli DPC 1, Haji Mustapa bin Haji Masri, bengkel itu sangat berfaedah dan bermakna kepada semua ahli DPC yang mengikuti bengkel berkenaan.
Bengkel itu boleh memberikan semangat dan motivasi supaya ahli DPC akan terus aktif dan dapat memainkan peranan dalam membantu penduduk-penduduk di mukim dan kampung masing-masing dalam menangani risiko bencana.


