Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Seramai 21 peserta yang terdiri daripada ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Biro Wanita Berserumpun Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, ibu tunggal dan suri rumah telah menyertai bengkel membuat piza dan donat yang berlangsung di Pusat Pembangunan Belia (PBB), Kampung Tanah Jambu.
Bengkel anjuran Biro Wanita MPK Kawasan 4 yang merupakan kali kedua diadakan, bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta menambah pengetahuan serta kemahiran dalam bidang pembuatan makanan seterusnya membuka ruang untuk menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan.
Hadir sama menyertai bengkel itu ialah Penghulu Mukim Mentiri merangkap Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad yang turut menyokong pelaksanaan program berkenaan.
Program berkenaan menampilkan salah seorang tenaga pengajar dari PBB, Dayang Norhani bin Haji Syawal yang telah membimbing peserta dalam proses pembuatan piza dan donat sepanjang bengkel berlangsung.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta yang telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Belia, Awang Haswandi bin Haji Osman.
Para peserta menyatakan rasa berpuas hati dan berharap lebih banyak program seumpamanya akan diadakan oleh MPK Biro Wanita Berserumpun Kawasan 4 RPN Kampung Panchor pada masa akan datang.
Semua di atas: Antara suasana semasa bengkel berkenaan.

