Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV -Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah meneruskan lagi Program Penulis Muda 2025: Bengkel Penulisan Cerpen yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, hari ini.
Program yang bermula baru-baru ini telah memasuki hari ketiga dan akan menutup tirainya pada petang nanti dan ia merupakan kesinambungan usaha DBP dalam membimbing dan memperkasa penulis muda tempatan ke arah penghasilan karya sastera yang berkualiti serta berdaya saing.
Projek bimbingan dan peremajaan bakat sastera ini diadakan selaras dengan perancangan strategik jabatan bagi melahirkan penulis muda yang berbakat dalam bidang penulisan kreatif.
Selain mengangkat moto Tulis, Gugah Minda, Ubah Dunia ini mula dilaksanakan pada tahun 2019 dengan memberi tumpuan kepada genre sastera seperti sajak, cerpen, novel dan drama.

Antara lain objektif program ini, memberi dorongan dan sokongan berterusan kepada penulis muda untuk menghasilkan karya sastera yang berkualiti, di samping membimbing mereka berkarya secara sistematik dan terarah.
Program ini turut dibimbing oleh beberapa orang pakar sastera, penulis mapan dan berpengalaman dari dalam serta luar negara bagi melahirkan pelapis penulis yang mampu menyerlah di peringkat kebangsaan dan serantau.
Seramai 21 orang peserta menyertai bengkel tiga hari ini, terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan, guru, mahasiswa institusi pengajian tinggi, pelajar serta peserta individu.
Bengkel turut dihadiri oleh para penulis dan penggiat sastera yang hadir sebagai pemerhati untuk berkongsi pengalaman dan menzahirkan minat mereka dalam bidang penulisan cerpen.


Bimbingan bengkel disampaikan oleh cerpenis dari Malaysia, Nisah binti Haron, yang juga Penerima Hadiah Sasterawan Muda Asia Tenggara (Mastera) 2017.
Beliau juga pernah merangkul beberapa anugerah penulisan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, selain memegang jawatan sebagai Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

