Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Dalam usaha memberikan pengetahuan asas berbahasa Dusun serta memudahkan para pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) berinteraksi dengan saudara-saudara baharu dalam kalangan Puak Dusun di negara ini, Bahagian Pengembangan Dakwah, PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menganjurkan Bengkel Pengenalan Bahasa Dusun bertempat di Dewan Serbaguna, PDI, Kampung Pulaie.
Hadir pada bengkel berkenaan ialah Pemangku Pengarah PDI, Awang Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil serta cenderahati penghargaan kepada para peserta.
Terdahulu, Ketua Bahagian Pengembangan Dakwah, Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidop menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan.
Sesi bengkel pula disampaikan oleh Penguasa Dakwah dan Tabligh, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan. Majlis penyampaian sijil dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Penganjuran bengkel tersebut dihasratkan dapat menjadi wadah untuk memupuk kefahaman, rasa hormat dan penghargaan terhadap bahasa serta budaya tempatan, di samping mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum serta memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian di negara ini.
Bengkel juga bertujuan meningkatkan keberkesanan penyampaian dakwah khususnya golongan mualaf dan masyarakat bukan Islam daripada Puak Dusun.


