Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Dalam usaha meningkatkan kesedaran komuniti terhadap pencemaran plastik dan membanteras amalan pembakaran terbuka, satu bengkel bertajuk Dari Plastik ke Minyak: Satu Langkah Kecil telah diadakan bertempat di kediaman Penghulu Mukim Kiudang, Cikgu Haji Khairulizam bin Haji Jefrey, di Mukim Kiudang, Tutong.
Bengkel ini merupakan inisiatif sukarela oleh Mohammad Khoirunnazhiim bin Mohd Daud, seorang belia aktif dari Brunei yang melancarkan projek Belia Bina Harapan: Dari Plastik ke Minyak.
Projek berkenaan bertujuan mendidik penduduk kampung untuk mengitar semula plastik menjadi minyak biodiesel dengan menggunakan kaedah yang mudah, selamat dan mampu milik.
Tujuan utama bengkel berkenaan adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat kampung tentang cara yang lebih lestari dalam menguruskan sisa plastik, sekali gus mengurangkan pembakaran terbuka serta lambakan plastik di kawasan kampung.
Projek yang mendapat sokongan penuh daripada Penghulu Mukim Kiudang tersebut telah menarik penyertaan seramai 30 orang yang terdiri daripada penghulu dan ketua-ketua Kampung, ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, ahli takmir masjid, penduduk serta golongan belia dan beliawanis dari Mukim Kiudang.
Sepanjang bengkel, Mohammad Khoirunnazhiim mengajar peserta kaedah mengenal pasti jenis plastik yang sesuai, teknik pengumpulan serta cara menukarkannya kepada minyak menggunakan tong besi dan proses pemanasan tertutup.
Minyak yang dihasilkan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk sebagai bahan kalis bumbung, bahan bakar lampu dan juga minyak bagi enjin diesel lama setelah ditapis.
Beliau turut menekankan bahawa bengkel ini bukan hanya berkaitan penghasilan minyak, tetapi lebih kepada perubahan mentaliti dalam kalangan masyarakat, khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
“Jangan tunggu bantuan. Kitani mulakan dari apa yang ada. Bukan tentang minyak saja tapi mentaliti,” ujarnya semasa sesi penerangan berkenaan.
Projek berkenaan juga diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk bertindak dan berusaha secara proaktif demi kesejahteraan bersama, sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam membentuk masyarakat yang berpengetahuan, bertanggungjawab dan prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.
Semua di atas: Antara suasana semasa bengkel berkenaan.


