Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Seramai 47 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang persendirian, serta mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, hari ini, menghadiri Majlis Pembukaan Bengkel Penulisan Esei Sejarah Brunei Tahun 2024 di Pusat Sejarah Brunei (PSB).
Bengkel selama dua hari itu antara lain bertujuan untuk memberikan bimbingan, kefahaman dan kesedaran kepada orang ramai khusus kepada pengkaji dan peminat sejarah mengenai kepentingan mengetahui kaedah dan teknik penulisan esei sejarah yang berkualiti dan bersifat ilmiah.
Hadir selaku tetamu khas seterusnya melancarkan pembukaan bengkel itu ialah Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.
Sepanjang bengkel berkenaan, empat orang fasilitator daripada pegawai PSB yang mana masing-masing akan mengongsikan tajuk mengenai Sumber Persejarahan Brunei, Pengolahan Sumber dalam Penulisan Esei, Landasan Teori Penulisan Sejarah, serta Format dan Teknik Penulisan Esei Sejarah Jurnal Darussalam.
Melalui bengkel itu, para peserta akan diberikan pendedahan mengenai sumber persejarahan negara dan diberikan tunjuk ajar mengenai teknik pengolahan sumber bagi menghasilkan penulisan esei sejarah yang berkualiti.
Di samping itu, para peserta juga akan mengikuti sesi latihan penulisan secara praktikal dengan menghasilkan penulisan sejarah berpandukan format dan teknik penulisan hasil perkongsian yang disampaikan oleh fasilitator bengkel.
Bengkel ini juga adalah sebagai persediaan bagi Peraduan Menulis Esei Sejarah Brunei Tahun 2024-2025 yang masih dibukakan penyertaan kepada orang ramai berumur 18 tahun ke atas yang akan ditutup penyertaannya pada 30 September.





