BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Progresif terus memainkan peranan utamanya dalam menyokong industri kreatif tempatan dengan menganjurkan bengkel fesyen pertama Brunei dengan kerjasama pereka dari Malaysia, Jovian Mandagie.
Bengkel yang berlangsung di Ibu Pejabat Progresif itu kelmarin menarik lebih daripada 80 peserta daripada industri fesyen dan industri berkaitan termasuk ‘stylists’, pereka, jurugambar, juru solek dan model.
Peserta bengkel dibahagikan kepada lima pasukan yang terdiri daripada dua jurugambar, dua juru solek dan seorang ‘stylist’ atau pereka dan mereka akan dinilai oleh panel hakim atas keupayaan membuat dan melaksanakan konsep fesyen dan kualiti kerja.
Dalam bengkel ini juga, Jovian bekerjasama dengan pasukan untuk membantu mereka keluar dari zon selesa dan mencabar mereka untuk menghasilkan kerja terbaik di bawah tekanan.
Selepas lima jam, Dayang Siti Nazmah binti Haji Abdul Samad, Dayang Norfairuzneezan binti Mohd Helmi, Dayangku Hajah Norazyatul Merna binti Pengiran Tajuddin, Nasrul Hadi dan Benjamin Sanai telah diisytiharkan sebagai pemenang.

Sebagai ganjarannya, mereka diberi peluang untuk bekerja selama sehari bersama Jovian di Kuala Lumpur, di mana mereka akan mempelajari pelbagai elemen yang diperlukan untuk menjadi usahawan fesyen yang berjaya.
Ketua Pegawai Pemasaran Progresif, Devin Edwards berkata, “Bakat dan keghairahan yang wujud dalam industri fesyen di seluruh dunia juga wujud di Brunei. Matlamat utama bengkel ini adalah untuk membantu bakat tempatan menggerakkan cita-cita mereka dalam per-niagaan yang berdaya maju.
“Bengkel bersama Jovian juga mencerminkan pendekatan kami terhadap tanggungjawab sosial korporat, di mana kami berusaha untuk memaksimumkan manfaat kepada komuniti melalui pemikiran jangka panjang,” tambahnya.