Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel fokus penyahkarbonan, pelabuhan mampan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Sebagai sebahagian daripada Mesyuarat Kumpulan Kerja Pengangkutan Maritim ASEAN (MTWG) ke-47, Jabatan Pengangkutan AS di bawah Kerjasama Dialog Pengangkutan AS-ASEAN telah mengadakan Bengkel ASEAN-AS: Membangun Pelabuhan Mapan melalui Dasar, Perancangan, Perkongsian dan Inovasi yang berlangsung hari ini hingga 20 September.

    Bengkel itu bertujuan memperkukuhkan dasar, perancangan, dan strategi inovasi peserta serta memberi peluang untuk membincangkan matlamat bersama dalam memajukan kemampanan sektor pelabuhan dan maritim ASEAN, dengan tumpuan khusus kepada usaha penyahkarbonan.

    Perasmian bengkel tersebut disempurnakan oleh Penolong Ketua Eksekutif Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam, Dayang Salmaya Rahayu binti Salleh selaku Pengerusi MTWG ASEAN; dan Duta Besar AS ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R McClelland.

    Dalam ucapannya, Dayang Salmaya Rahayu menekankan peranan penting pengangkutan maritim dalam perdagangan global, yang walaupun merupakan mod pengangkutan paling cekap dan mampan, masih menyumbang kira-kira 3 peratus kepada pelepasan karbon global. Tanpa tindakan tegas, pelepasan ini dijangka meningkat sebanyak 130 peratus menjelang 2050.

    Beliau turut menegaskan bahawa pelabuhan memiliki potensi besar untuk menerajui usaha kemampanan dengan memfokuskan kepada aspek alam sekitar, sosial, tadbir urus dan ekonomi.

    Sementara itu, Puan Yang Terutama turut menyatakan bahawa penyahkarbonan bukan hanya tentang mengurangkan pelepasan, tetapi juga melibatkan penggabungan pertimbangan alam sekitar, sosial dan ekonomi dalam operasi pelabuhan. Beliau juga menggesa ASEAN untuk merebut peluang dalam mengamalkan amalan mampan seiring pembangunan sektor maritim rantau ini.

    Beliau menambah bahawa AS komited untuk terus menyokong usaha ASEAN dalam memastikan pelabuhan kekal berdaya tahan, berdaya saing, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

    Bengkel tersebut turut dihadiri delegasi dari Sekretariat ASEAN, negara anggota ASEAN, dan Timor-Leste.

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda