Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Taman Asuhan Kanak-Kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB), baru-baru ini, mengadakan bengkel fonetik untuk ibu bapa dan penjaga murid-murid.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh guru TASKA, Awang Muhd Nazmi bin Haji Puasa dan diikuti ucapan alu-aluan daripada Pengetua TASKA YSHHB, Datin Hajah Zainab binti Haji Abdul Wahab.
Bengkel fonetik tersebut disampaikan Hajah Siti Sara binti Haji Tahir dan Dayang Mardiana binti Haji Sulaiman dari Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Kementerian Pendidikan.
Antara lain tujuan bengkel adalah untuk memberikan pengetahuan asas cara-cara membaca menggunakan fonetik sebagai usaha untuk meningkatkan lagi tahap bacaan kanak-kanak TASKA.
Selain itu, ia diharap dapat membantu ibu bapa dan penjaga untuk sama-sama membimbing anak-anak mereka membaca di rumah dengan teknik fonetik yang betul.
