Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Bengkel Fotografi yang melabuhkan tirainya, kelmarin telah mengumumkan Awang Burhassan bin Buyong dari Jabatan Radio Televisyen Brunei sebagai pemenang Pertandingan Fotografi Kreatif pada majlis penyampaian hadiah di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.
Pemenang kedua dimiliki oleh Pengiran Mohamad Nurul Syazani bin Pengiran Mohd Roslan selaku peserta perseorangan dan tempat ketiga dimenangi oleh Awang Haji Fatdli bin Haji Tuah dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab yang turut menyampaikan cenderamata kepada pembimbing bengkel dan sijil penghargaan kepada peserta-peserta bengkel.
Majlis juga diisikan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, selaku pengerusi majlis.
Kemudian, diikuti dengan ucapan daripada pembimbing bengkel dan wakil peserta bengkel.
Majlis penutup juga diserikan dengan tayangan video yang memaparkan kegiatan sepanjang Bengkel Fotografi dilaksanakan.
Pengungkayahan Bengkel Fotografi bersempena Sambutan Bulan Bahasa 2023 merupakan satu lagi usaha jabatan bagi memberikan ruang dan peluang kepada jurugambar-jurugambar tempatan khasnya dan masyarakat amnya terutamanya pegawai dan kakitangan kerajaan untuk meningkatkan lagi kemahiran serta kepakaran dalam seni fotografi sekali gus mampu menghasilkan imej atau gambar yang bermutu dan berkualiti.
Antara objektif bengkel tersebut adalah untuk memberikan bimbingan dan meningkatkan kemahiran serta kepakaran dalam bidang fotografi; memberigakan peranan DBP sebagai sebuah agensi kerajaan yang menyalurkan pelbagai ilmu pengetahuan termasuklah bidang seni fotografi; melahirkan dan mengangkat karya-karya foto yang terbaik dan berkualiti; mengekspresikan dan memvariasikan kreativiti masyarakat melalui seni fotografi seterusnya menjadi suatu sumber pendapatan yang dapat menjana kepada kemajuan sosioekonomi negara.
Bengkel Fotografi itu dilaksanakan selama lima hari dan disertai seramai 34 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian serta jabatan-jabatan kerajaan dan orang perseorangan.
Sepanjang bengkel para peserta diberikan bimbingan serta penerangan, perbincangan dan latihan yang akan dibimbing oleh pembimbing bengkel, Haji Mohamad Haranadi bin Haji Buntar.
Antara pengisian bengkel ialah pengenalan, asas fotografi, latihan praktikal, teknik penyuntingan dan sesi pembentangan.