Oleh Yusrin Junaidi –
BELAIT, 25 MEI – Jemaah masjid, surau, balai ibadat serta penduduk Daerah Belait telah mengikuti Bengkel Menghalusi dan Tadabbur Surah Al-Fatihah yang diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan Kuala Belait, pagi tadi.
Bengkel tersebut menumpukan kepada pembacaan Al-Quran dengan tajwid yang sempurna, terutama dari segi sebutan makhraj huruf dan hukum tajwid yang betul bagi memastikan ayat yang dibaca tidak tersasar daripada makna sebenar.
Tenaga pengajar pada bengkel tersebut ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait, Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim.
Antara fokus utama bengkel adalah memperbetulkan kesalahan dalam bacaan Surah Al-Fatihah serta menyingkap rahsia dan hikmah surah tersebut melalui kaedah tadabbur.
Bengkel diungkayahkan oleh ahli Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Kampung Pandan ini bertujuan menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara sebagai Negara Zikir, selain memberi peluang kepada masyarakat meningkatkan ilmu tajwid dan penghayatan ayat Al-Quran.
Para peserta juga didedahkan dengan teknik-teknik sebutan huruf yang tepat mengikut makhraj serta diberikan latihan praktikal dalam pembacaan Surah Al-Fatihah.
Dengan adanya bengkel ini, diharapkan para peserta dapat memperbaiki sebutan makhraj huruf, memahami hukum tajwid dan mengambil pengajaran daripada Surah Al-Fatihah dalam kehidupan seharian.