Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Bengkel dan demonstrasi Ikebana anjuran Kedutaan Besar Jepun di Brunei Darussalam dengan kerjasama Pusat Membeli-Belah Times Square berakhir hari ini dengan beberapa persembahan Ikebana terbaik.
Hadir semasa majlis penutup berkenaan ialah Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Motohiko Kato dan turut hadir ialah, Pengarah Urusan Times Square, Dayang Amal Majidah binti Haji Suhaili.
Ikebana adalah seni tradisional Jepun di mana bunga dan tumbuhan diatur khusus dalam pasu untuk penghargaan. Ia sama dengan susunan bunga, yang popular di banyak negara, tetapi terdapat beberapa perbezaan yang menjadikannya unik.

Sebagai contoh, gubahan bunga menggunakan bunga-bungaan manakala Ikebana selain menggunakan bunga ia digabungkan dengan pelbagai spesies rumput yang unik, pokok dan pelbagai jenis tumbuhan.
Melihat akan keunikan seni dan tradisional yang tersendiri, Ikebana telah diperkenalkan kepada orang ramai melalui demonstrasi dan bengkel berkenaan yang dipimpin oleh pakar Ikebana terkenal, Risho Saito.
Risho Saito yang merupakan ahli Persatuan Guru Sogetsu dan Pengurus Cawangan Sogetsu Yamaguchi, juga telah mempamerkan teknik elegan dan bakat seninya.