Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kualiti kaunselor sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan melalui Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah mengadakan Bengkel Intervensi Psikopendidikan: Modul Kumpulan Psikopendidikan yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini.
Bengkel yang juga bertujuan untuk memastikan keberkesanan kaedah dan teknik kaunseling yang digunakan itu telah diakhiri dengan penyampaian sijil pada majlis penutup yang berlangsung di Dewan Utama Pusat Dakwah Islamiah.
Hadir menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh.
Terdahulu sebelum majlis penutup bengkel, dapatan bengkel oleh kumpulan-kumpulan peserta dan pembentangan resolusi oleh wakil peserta telah disampaikan.
Bengkel berkenaan juga dihasratkan dapat melengkapkan kaunselor-kaunselor sekolah dengan kemahiran kaunseling yang relevan dengan trend perkembangan semasa.
Seorang pakar dari luar negara iaitu Pensyarah Bahagian Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak Darul Ridzuan, Malaysia, Profesor Madya Dr Aslina binti Ahmad telah diundang bagi mengendalikan bengkel tersebut dan mengkongsikan kemahiran dan amalan-amalan terbaik dalam menangani masalah pelajar.
Antara perancangan dan pelan tindakan selepas bengkel ialah para pegawai Unit Kaunseling dan Kerjaya dan para kaunselor dikehendaki mengendalikan taklimat dan bengkel mengenai perisian bengkel yang telah dikuti kepada guru-guru bimbingan mengikut tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan bagi kluster masing-masing.


