Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Standard antarabangsa adalah amat penting sebagai asas dalam usaha membina negara yang lebih selamat, sihat dan mampan.
Penekanan tersebut dibuat oleh Pemangku Pengarah Pusat Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam (PSABD), Dayangku Hajah Nadiah Annasyitah binti Pengiran DP Haji Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya semasa pelaksanaan Bengkel Kesedaran ISO di Dewan Auditorium, Bangunan D&T, Kampung Anggerek Desa hari ini.
Bengkel yang memberikan tumpuan kepada dua standard antarabangsa utama, iaitu, ISO 45001:2018 – Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan juga ISO 14064 – Pelepasan dan Penyingkiran Gas Rumah Hijau adalah merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran awam, membina keupayaan institusi dan menyokong aspirasi yang digariskan dalam Wawasan Brunei 2035 dan Brunei Darussalam Economic Blueprint, menurut Dayangku Hajah Nadiah Annasyitah.

Bengkel yang diadakan oleh PSABD di Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan dikendalikan oleh Pengurus Besar, AJA EQS Certification, Roslani Khaidir dengan menghimpunkan para peserta daripada sektor kerajaan dan industri bagi memupuk amalan terbaik dalam pengurusan keselamatan serta akauntabiliti alam sekitar.



Sesi pagi bengkel dimulakan dengan pendedahan kepada ISO 45001:2018, satu standard antarabangsa yang menumpukan kepada peningkatan keselamatan dan mengurangkan risiko di tempat kerja. Para peserta meneroka bagaimana standard berkenaan membolehkan organisasi mengenal pasti bahaya secara proaktif, mengurangkan risiko dan menggalakkan budaya keselamatan yang kukuh di semua peringkat daripada pihak pengurusan hingga ke barisan hadapan.
Sesi petang bengkel pula menumpukan tanggungjawab iklim dengan memperkenalkan ISO 14064 sebagai standard penting bagi organisasi yang ingin mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).
Sesi itu adalah sangat relevan dengan matlamat kebangsaan di bawah Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP) melalui memperkenalkan kaedah praktikal bagi mengira dan mengesahkan pelepasan serta penyingkiran GHG sekali gus menyokong ketelusan dan mewujudkan asas untuk strategi karbon rendah.
PSABD kekal komited dalam mempromosikan budaya kualiti dan kecemerlangan di Negara Brunei Darussalam. Sepanjang bengkel berkenaan, kaitan antara standard, produktiviti dan kemampanan telah turut ditekankan. Standard antarabangsa itu, tidak hanya dilihat sebagai alat pematuhan tetapi juga sebagai pemangkin strategik bagi inovasi, kecekapan operasi dan ketahanan jangka panjang.
Sesi bergambar ramai semasa bengkel berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

