Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel jadi wadah dalami pengetahuan psikologi dan pedagogi terkini

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT- Sebagai kesinambungan daripada Persidangan Antarabangsa Psikologi dan Pedagogi (ICoPP) 2024 yang diadakan baru-baru ini, seramai 100 orang guru pendidikan Islam serta pegawai dan kakitangan beberapa buah kementerian telah menyertai Bengkel Psikologi dan Pedagogi 2024 bertempat di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), kelmarin.

    Dalam bengkel berkenaan, peserta membincangkan mengenai beberapa tajuk modul bersama dengan fasilitator pembentang persidangan termasuk The Role of Psychology in Religious Education, Bimbingan dan Kaunseling: Pendekatan Tazkiyah An-Nafs : Model dan Pelaksanaan, Integrasi Elemen Psikologi di dalam Silibus Pendidikan Islam, Modul Ajar Pendidikan Agama Islam dan Budi Pekerti dan Guru yang Dirindui.

    Bengkel itu disampaikan oleh pakar-pakar dalam dan luar negara iaitu Dr Goolam Hussein Rassool dari Centre of Islamic Studies and Civilisation, Charles Stuart University Australia; Penolong Kanan Profesor dari Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, Dr Hajah Salwa binti Dato Seri Setia Haji Mahalle; Profesor Madya Dr Mohd Noor bin Saper dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia; Consultant Organizational Psychologist, Malaysia, Dr Alizi Alias dan Profesor Dr Adi Atmoko dari Universitas Negeri Malang, Indonesia.

    Dengan tema Pedagogi Berkesan Berteraskan Psikologi Holistik, antara objektif bengkel adalah sebagai wadah bagi para peserta memperoleh pengetahuan terkini dalam bidang psikologi dan pedagogi, termasuk teori, kajian dan amalan terbaik melalui pendekatan perbincangan serta perkongsian pengalaman dan kepakaran bersama dengan fasilitator.

    Ini termasuk meningkatkan kesedaran tentang isu-isu terkini dan cabaran dalam pendidikan dan psikologi, serta menggalakkan dialog dan penyelesaian bagi menangani isu-isu tersebut iaitu menyokong dan menggalakkan inovasi dalam pendekatan pedagogi dan intervensi psikologi untuk meningkatkan hasil pembelajaran dan kesejahteraan pelajar.

    Bengkel Psikologi dan Pedagogi melibatkan guru, kakitangan kerajaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara guru pendidikan Islam yang hadir semasa bengkel berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda