Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Dalam meningkatkan pengetahuan dan mendapatkan pengalaman baharu, seramai 20 orang telah mengikuti Bengkel Jahitan Sulaman Kulit (JSK), hari ini.
Bengkel sehari berkenaan diadakan di kediaman Pemangku Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) II Kampung Mentiri dan dihadiri oleh penduduk RPN berkenaan, Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN II Kampung Mentiri dan ibu tunggal di kampung berkenaan.
Ia merupakan Projek Amal Jiwaku Ikhlas anjuran Kris Kamila Kreation dengan kerjasama MPK dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung RPN II Kampung Mentiri dan Kedutaan Besar Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam.
Hadir menyaksikan bengkel yang julung kalinya diadakan itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi Zirouki.
Bengkel latihan itu telah dibimbing oleh Sorayya Rigi dari Iran yang didatangkan khas oleh Kedutaan Besar Republik Islam Iran.
Dengan adanya bengkel berkenaan, ia dapat membantu memberi ilmu yang bermanfaat kepada peserta dalam meningkatkan pengetahuan dan memberi pengalaman baharu di samping dapat menyuntik semangat serta minat mereka dalam bidang jahitan menggunakan bahan kulit.
Projek Amal Jiwaku Iklas kini sangat aktif membantu masyarakat di negara ini terutama golongan yang kurang berkemampuan di dalam negara dan luar negara.
Setakat ini, lima program telah dikenal pasti akan diungkayahkan menjelang akhir Ramadan dan Syawal nanti.


