Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel kemahiran AI untuk pendidikan

    Oleh Salawati Haji Yahya 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Bengkel “Creative AI Digital Content Creation for Educators”, yang dikendalikan oleh Avisenna Gusta, Pengasas SEAUp, telah menghimpunkan pegawai pendidikan dan pemimpin teknologi dari Centre of Technology Enhancement Learning (CTEL), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), kelmarin.

    Sesi sehari yang bersifat praktikal bagi menerapkan kecerdasan artifisial (AI) dalam pengajaran dan pembelajaran telah diadakan di IBTE Lead-In Hub

    Bengkel dianjurkan dengan kerjasama DigiNations, sebuah komuniti inovasi berpangkalan di Brunei yang mana bengkel ini memperkenalkan peserta kepada alat AI terkini dan aplikasi praktikal dalam pendidikan.

    Di samping  melengkapkan mereka dengan kemahiran membangunkan Kit Latihan AI, menghasilkan kandungan berasaskan AI, dan membina Gemini Gems iaitu pembantu AI tersuai yang direka untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan memudahkan perancangan pembelajaran.

    SEAUp ialah sebuah inisiatif serantau yang didedikasikan untuk memperkasa ekosistem pendidikan Asia Tenggara melalui kemahiran kecerdasan artifisial (AI) masa depan, inovasi, dan program pembangunan kapasiti.

    Sementara itu, DigiNations menerajui usaha mempromosikan literasi digital, pembelajaran imersif, dan kesedaran Industri 4.0 melalui projek-projek yang memenangi anugerah seperti DigiThink, Digiverse, dan DigiNova. ‘

    Kedua-dua organisasi ini bekerjasama untuk membentuk rangkaian pendidik berkemampuan tinggi yang dapat mengaplikasikan AI secara kreatif dan bertanggungjawab untuk membawa perubahan bermakna dalam pendidikan.

    AI seharusnya memperkasa pendidik, bukan menggantikan mereka,” jelas Avisenna Gusta dan seterusnya menjelaskan bengkel ini memberi penekanan kepada kreativiti, kolaborasi, dan inovasi untuk mempersiapkan pendidik menghadapi masa depan digital.

    Beliau seterusnya menekankan kepentingan inovasi berpusatkan manusia dalam menghadapi landskap teknologi yang pesat berkembang.

    Melangkah ke hadapan, SEAUp dan DigiNations merancang untuk memperluaskan inisiatif literasi digital ke peringkat serantau, sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang kepada pendidik untuk memperoleh pengalaman praktikal dengan AI dan teknologi terkini.

    Dengan memupuk komuniti pendidik dan pemimpin inovatif, kerjasama ini berhasrat untuk menempatkan Brunei dan Asia Tenggara sebagai penyumbang utama dalam membentuk generasi mahir digital dan bersedia menghadapi masa depan.

     

    Antar peserta yang menyertai Bengkel ‘Creative AI Digital Content Creation for Educators’. – Gambar serahan SEAUp
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda