Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Bengkel Kemahiran Keibubapaan Islam ke-3 yang disertai seramai 53 orang peserta dari agensi-agensi kerajaan dan orang persendirian telah melabuhkan tirainya dengan majlis penutup di Dewan Tarbiah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.
Pengarah Pusat Pengkajian Fiqh Al-Usrah, Dr Haji Sham bin Haji Amin selaku pengerusi bengkel dalam ucapan alu-aluannya antara lain melahirkan harapan, peserta bengkel akan dapat mempraktikkan dengan baik segala ilmu pengetahuan yang disalurkan ke dalam kehidupan berkeluarga secara istiqamah.
Di samping itu, ia juga dapat memberi nilai tambah ilmu dari semasa ke semasa sebagai platform dan mekanisme dalam membentuk dan melestarikan rumah tangga yang sakinah, mawaddah warahmah.
Bengkel dua hari itu dianjurkan KUPU SB melalui Pusat Fiqh Al-Usrah dan pemudah cara bengkel terdiri daripada tenaga akademik kolej universiti berkenaan.



