Wednesday, January 29, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel kenderaan di Jerudong diarah roboh

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Kegiatan perusahaan bengkel kenderaan yang terletak di Kampung Jerudong, Mukim Sengkurong telah diarahkan untuk menghentikan aktivitinya dan merobohkan tambahannya kerana telah melanggar Bab 23(2), Akta Perancangan Bandar dan Desa, Penggal 248 (TCPA) iaitu menjalankan kegiatan perusahaan dan membina tambahan bangunan tanpa Kebenaran Perancangan.

    Menurut kenyataan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), kegiatan tersebut dijalankan di atas tanah yang dihadkan hanya untuk tujuan kediaman.

    Gambar atas dan bawah menunjukkan bengkel sebelum dan selepas dirobohkan kerana menjalankan kegiatan perusahaan dan membina tambahan bangunan tanpa kebenaran. – GAMBAR SERAHAN JPBD

    Kegiatan penyimpanan kenderaan itu telah menyebabkan rasa tidak puas hati dan menjejaskan kesejahteraan lot kediaman bersebelahan.

    Selepas pemantauan dan pemeriksaan rutin dilakukan, pemilik telah mematuhi arahan pihak berkuasa dengan menghentikan aktiviti tersebut.

    Kenderaan telah dipindahkan dari kawasan itu dan tambahan bangunan telah dirobohkan. Kes tersebut adalah hasil aduan yang diterima daripada orang ramai.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai turut diingatkan untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Bab 23 TCPA yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja di dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa Kebenaran Perancangan.

    Kegagalan dalam mematuhi boleh dikenakan denda sepertimana di dalam Bab 23 (6) iaitu denda tidak melebihi $200,000 dan dalam hal kesalahan yang berterusan dikenakan suatu denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

    Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan orang ramai bolehlah menghubungi talian hotline Jabatan Perancang Bandar dan Desa di 8200222.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda