Monday, October 14, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel kenderaan tanpa kebenaran diarah roboh

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Kegiatan perusahaan bengkel kenderaan yang terletak di Kampong Rimba, Mukim Gadong telah diarahkan untuk menghentikan aktivitinya dan merobohkan kemajuannya kerana telah melanggar Bab 23(2), Perintah Perancangan Bandar dan Desa, Penggal 248 iaitu menjalankan kegiatan perusahaan dan membina tambahan bangunan tanpa Kebenaran Perancangan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya menjelaskan bahawa kegiatan tanpa kebenaran tersebut telah dijalankan di atas tanah yang dihadkan hanya untuk tujuan kediaman.

    Manakala, tambahan bangunan tanpa kebenaran yang melibatkan garis bangunan itu telah digunakan sebagai tempat penyimpanan barang jualan. Kegiatan ini telah menjejaskan kesejahteraan dan kebersihan kawasan perumahan berkenaan.  

    Melalui pemantauan berterusan oleh Autoriti Perancangan, pemilik telah mematuhi arahan pihak berkuasa dengan menghentikan kegiatan, memindahkan semua kenderaan dan merobohkan tambahan tanpa kebenaran berkenaan. Kes ini adalah hasil aduan yang diterima daripada orang ramai.

    Orang ramai adalah diperingatkan untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Bab 23 TCPO yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja di dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa kebenaran perancangan.

    Kegagalan dalam mematuhi boleh dikenakan denda sepertimana di dalam Bab 23 (6) iaitu denda tidak melebihi $200,000; dan dalam hal kesalahan yang berterusan dikenakan suatu denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

    Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan orang ramai bolehlah menghubungi talian hotline JPBD di 8200 222.

    Antara perusahaan bengkel kenderaan yang telah diarahkan untuk menghentikan aktivitinya dan merobohkan kemajuannya. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda