Oleh Salawati Haji Yahya –
Dengan tema Bagaimana Dunia Berubah Selepas Wabak telah memberi peluang kepada peserta Bengkel Penghubung Seni Chiangmai ke-2 di Chiang Mai, Thailand, yang telah berlangsung pada 23 November hingga 30 November lalu untuk berkongsi pandangan dan idea mereka.
Tema yang dipilih bertujuan untuk mencetuskan perbincangan tentang impaknya, kemampanan dan peranan seni, memupuk kreativiti dan hubungan global.
Sementara itu, wakil negara yang menghadiri bengkel berkenaan, Haji Mahaddi bin Haji Mat Zain atau lebih dikenali dengan Adi Zain telah berkongsi pengalaman beliau mengenai bengkel berkenaan.
Menurutnya, melalui penyertaan dalam bengkel ini, beliau bukan saja mampu berkongsi pandangan dan idea dalam kalangan peserta dari negara-negara lain malah beliau juga dapat menimba ilmu yang bermanfaat di mana pihak penganjur telah menjemput pelukis yang berbakat untuk berkongsi ilmu mereka kepada peserta.
Selain memperoleh ilmu daripada pelukis yang mahir, hasil lukisan terbaik peserta dalam bengkel ini akan dijadikan koleksi mutlak pihak penganjur.




Lokasi yang dipilih oleh pihak penganjur juga sangat penting untuk bengkel ini yang melihat kepada pembudayaan wajah bandar dan lokasi sesuai untuk pelukis-pelukis bengkel.
Penyertaan dan pendedahan di peringkat antarabangsa, jelasnya, akan dapat meluaskan lagi pengaruh dan menghubungkan para pelukis kepada lebih banyak peluang untuk dikenali selain dapat mengharumkan nama negara di mata dunia.
Para seniman dari setiap negara yang terlibat melakukan aktiviti persembahan seni lukis Workshop Art Perfomance yang berlangsung selama tiga hari di bangunan tiga tingkat di Galeri Seni La Luna, Chiang Mai.
Setiap seniman akan menghasilkan tiga buah lukisan mengikut idea dan kreativiti persendirian, di mana dua buah hasil seni tersebut akan menjadi sebahagian daripada koleksi Galeri Seni La Luna.
Di samping mengikuti bengkel-bengkel, beliau bersama dengan para peserta bengkel yang lain berpeluang mengunjungi tempat yang berkaitan dengan seni.
ILMU BERMANFAAT
Bagi memberi penghargaan kepada para seniman, Chiang Mai Art Muzeum ini telah memperlihatkan hasil dan kemajuan para seniman terkenal Chiang Mai, Thailand terdahulu dari segi teknik dan bahan yang digunakan dalam kategori klasik, realism, surealism, kontemporari dan arca.
Ia sangat memberikan impak yang sangat positif dari segi pertambahan ilmu pengetahuan, ideologi dan semangat seniman terhadap kemajuan seni lukis untuk negara mahupun secara peribadi.
Selain itu, para peserta juga berpeluang menghadiri bengkel 30x30cm akrilik atas kanvas di Bluechips Hall, San Kamphang, Chiang Mai. Seminar seni lukis itu dibawakan oleh Krynkana Kongpetch dari Chiang Mai Fine Art University, di mana seminar menumpukan kepada hubungan seni lukis mengenai aspek impak, kesan, kajian dan peranan terhadap aktiviti dan produktiviti seni semasa dan selepas menghadapi pandemik COVID-19.
Katanya, “berkongsi pengalaman dengan peserta lain yang kemudian hasil perbincangan akan diterjemahkan melalui inspirasi warna untuk dilakar oleh setiap seniman untuk dijadikan cantuman karya masterpiece bersama peserta bengkel.”
BAHAN TRADISI
Mungkin dalam era kemodenan ini, teknik cara pembuatan kertas khas untuk seni lukis secara tradisi sudah jarang dilihat dan bagi Adi Zain pula, beliau merasa teruja melihat penghasilan kepingan kertas untuk kegunaan seni lukis dihasilkan dengan bahan alami.
Ketika mengongsikan, semasa lawatan di sana peserta telah diberikan penerangan mengenai sejarah awal kilang berkenaan selain ia dibina di sekitar pinggiran hutan dan ia memang sesuai kerana bahan yang digunakan daripada tumbuh-tumbuhan kulit kayu yang dilakukan beberapa proses sebelum ia dimasukkan ke dalam acuan saiz kertas yang diinginkan sebelum dikeringkan.
Untuk penghasilan kertas lukisan yang sempurna, ia mengambil masa tiga hingga empat hari dan ini bergantung kepada keadaan cuaca kerana kualiti kertas sangat memberikan impak yang berkesan dan lebih baik kepada seniman dalam seni lukis dan seni grafik dan kraf tangan mengikut kesesuaian.
PELUANG TEROKAI BUDAYA
Setelah menghadiri beberapa bengkel dan lawatan yang berkaitan dengan bengkel yang disertai, pengalaman melihat dengan lebih dekat budaya dalam Festival Cahaya ‘Loy Lamphang’, Chiang Mai, memberikan keterujaan kepada peserta yang datang dari berlainan negara dan budaya.
Peserta telah dibawa menyaksikan pesta tradisi yang disambut pada setiap 27 dan 28 November dengan menyaksikan pesta sinaran cahaya lampu, bunga api tanglung dan perarakan kereta berhias yang mana ia telah memperlihatkan nilai kebudayaan tradisi Chiang Mai kepada orang ramai dan juga pelancong. Bersempena Malam Tradisi Budaya Chiang Mai itu, peserta seniman telah mengenakan pakaian budaya negara masing-masing bagi memeriahkan acara tersebut.
Bengkel tersebut ditutup dengan majlis jamuan makan dengan makan bertalam dan duduk di hamparan tikar tradisional sambil menikmati makanan tradisional dan menyaksikan persembahan muzik dan tarian, dan diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada peserta seterusnya menyaksikan pameran.

