Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Ahli profesional penjagaan kesihatan dari seluruh negara telah berhimpun menghadiri program latihan komprehensif yang merangkumi bengkel amali bertajuk Practical Approaches in Respiratory and Allergy Diagnostics dan kuliah Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) bertajuk Allergy & Asthma Evaluatuon and Management Journey to Remission baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jerudong Park Medical Centre (JPMC), di sini, menyatakan sesi berkenaan dikendalikan dengan kerjasama BNH Hospital, Thailand serta diketuai oleh pakar antarabangsa terkenal, Profesor Dr Orapan Poachanukoon.
Bengkel tersebut menyediakan kemahiran praktikal dalam penggunaan peralatan diagnostik moden seperti terapi aerosol, ujian alahan yang disasarkan, FeNO dan spirometri, melengkapkan peralatan dengan teknik yang dipertingkatkan untuk meningkatkan ketepatan dalam diagnosis serta rawatan pernafasan dan alahan.
Program itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Train-the-Trainer yang lebih meluas bermatlamat bagi memperkasakan doktor, jururawat dan ahli profesional kesihatan bersekutu untuk menyebarkan ilmu pengetahuan berkenaan dalam institusi masing-masing dan mengukuhkan kemudahan penjagaan kesihatan.
Ketua Pegawai Perubatan JPMC, Dr Meera Sahib Kabeer menyatakan bahawa bengkel tersebut merupakan peluang yang cemerlang bagi profesional penjagaan kesihatan Brunei untuk berkolaborasi dengan BNH Hospital, bertukar-tukar amalan terbaik dan meneroka kerjasama penyelidikan masa depan.
Sementara itu, kuliah CME mengalihkan tumpuan kepada kawalan dan remisi penyakit jangka panjang. Dengan peningkatan kelaziman global asma dan penyakit alahan, syarahan itu menyerlahkan kemajuan dalam terapi biologi, perubatan peribadi dan teknik intervensi awal yang melampaui kawalan gejala untuk mencapai penyelesaian yang berkekalan bagi remisi.
Dengan kehadiran Presiden Thai Asthma Council, Profesor Dr Orapan Poachanukoon, seorang pakar dalam alahan dan imunologi untuk mengendalikan kedua-dua sesi berkenaan, Dr Kabeer dipetik menyatakan amat berbesar hati dengan kerjasama Profesor Dr Orapon Poachanukoon semasa sesi berkenaan.
“Penyelidikan dan kepimpinan beliau yang meluas dalam penjagaan alahan dan asma membuka pintu baharu untuk kerjasama, pertukaran akademik dan inovasi bersama dalam penjagaan kesihatan antara Thailand dan Negara Brunei Darussalam,” ujarnya.
Semua di atas: Antara suasana semasa bengkel dan kuliah berkenaan. – Gambar-gambar serahan JPMC

