Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Peserta Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam (ICIM) 2025 berpeluang mengikuti bengkel bertajuk, The Art of Quran in Southeast Asia, yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Asia Tenggara, The British Library, London, Dato’ Dr Annabel Teh Gallop, bertempat di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BKISHHB, di sini, hari ini, bengkel berkenaan telah dibahagikan kepada dua sesi di mana sesi pertama bertajuk Regional Styles in Illumination, manakala sesi kedua Enhanced, New or Fake? Thoughts on Authenticity in Manuscripts.
Hadir sebagai tetamu kehormat ke bengkel berkenaan ialah Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Kerja Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025.
Turut hadir, Pengkaji Naskhah, Yayasan Karyawan Malaysia, Dr Noriah @ Jariah binti Mohamed dan Pengarah Dar al-Nasa’im li Nashri wa Tauzi, Jeddah, Dr Nezar Mahmud Kasem Alsheikh.
Dato’ Dr Annabel Teh Gallop kini menjawat jawatan sebagai Ketua Kurator, Bahagian Asia Tenggara di British Library, London dan merupakan pakar terkemuka dalam bidang manuskrip Melayu, cap mohor Islam, serta budaya material dunia Islam di Asia Tenggara.
Sejak 1986, beliau berkhidmat di British Library dan bertanggungjawab dalam menyelenggara koleksi Asia Tenggara yang tersohor di peringkat antarabangsa.
Antara penerbitan utama beliau termasuk Malay Seals from the Islamic World of Southeast Asia: Content, Catalogue; From Anatolia to Aceh: Ottomans, Turks and Southeast Asia; Lasting Impressions: Seals from the Islamic World; The Legacy of the Malay Letter; dan Golden Letters: Writing Traditions of Indonesia.
Dr Gallop telah mengetuai beberapa projek akademik penting seperti projek penyelidikan tajaan British Academy bertajuk Islam, Trade and Politics across the Indian Ocean dan turut aktif menyampaikan syarahan di pelbagai institusi di seluruh dunia.
ICIM 2025 yang membawa tema, Manuskrip Islam: Jambatan Antara Masa Lalu dan Masa Depan, yang berlangsung dari 21 hingga 24 Jun ini bermatlamat untuk memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan manuskrip Islam sebagai jambatan yang menghubungkan warisan intelektual dan budaya dari masa lalu dengan masa hadapan umat Islam.