Monday, May 12, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel latih pemimpin kendali perjumpaan mingguan Pengakap

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Seramai lebih 80 orang pemimpin dan penolong pemimpin pasukan pengakap dari seluruh negara telah menyertai Bengkel Pemantapan Latihan Perjumpaan Mingguan yang dianjurkan oleh Pasukan Latihan Pengakap Kebangsaan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam kelmarin.

    Bengkel yang diadakan di Dewan Serbaguna, Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam berkenaan bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran dan kefahaman para pemimpin dalam melaksanakan perjumpaan mingguan dengan lebih berkesan dan teratur.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas. Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Skip Haji Junaidi bin Hussain dan Setiausaha Agung Persekutuan Pengakap, Skip Rostini binti Major (B) Haji Suhaili.

    Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada pelbagai pengisian penting termasuk perkongsian visi, misi dan hala tuju persekutuan bagi memastikan seluruh lapisan kepimpinan memahami arah tuju organisasi. Taklimat turut diberikan berkenaan peraturan-peraturan pengakap dengan penekanan terhadap aspek integriti, disiplin dan tanggungjawab kepimpinan.

    Peserta juga mendapat pendedahan mengenai struktur pentadbiran persatuan di peringkat daerah, latihan merancang program serta penyediaan rancangan mengajar untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan perjumpaan mingguan.

    Latihan dijalankan secara berasingan mengikut bahagian pengakap melibatkan Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana.

    Selain itu, sesi perbincangan kumpulan yang interaktif turut diadakan bagi memberi ruang kepada peserta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik.

    Bengkel diakhiri dengan Istiadat Bendera dan majlis penutup sebagai simbol perpaduan dan peneguhan jati diri pengakap dalam kalangan peserta.

    Program seumpama ini diyakini mampu memperkasa kepimpinan pengakap di peringkat akar umbi serta menyemai semangat cintakan pergerakan pengakap dalam kalangan generasi muda.

    Semua di atas: Antara suasana semasa bengkel berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda