Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT — Seramai 30 kakitangan barisan hadapan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), termasuk pramugara, pramugari, staf lapangan dan pegawai RB menghadiri Bengkel Program Melayu Islam Beraja (MIB) di Kampus RB, Berakas, hari ini.
Bengkel yang diungkayahkan Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB di Kementerian Pendidikan, dengan kerjasama Syarikat RB itu bertujuan untuk memperkukuh kefahaman tentang konsep MIB dalam konteks kenegaraan dan peranan mereka sebagai duta Brunei di persada antarabangsa.
Program itu dirangka untuk meningkatkan pengetahuan mengenai etnik dan identiti Brunei, serta warisan budaya dan tradisi negara. Peserta turut diberi pendedahan tentang peranan penting MIB dalam pembangunan negara, dengan memberi fokus kepada identiti negara yang unik berteraskan prinsip MIB.
Sepanjang bengkel, peserta diterangkan mengenai pengenalan dan peranan MIB dalam pembangunan negara serta kepentingan memelihara warisan budaya serta tradisi Brunei dalam konteks moden.
Program itu juga dilihat sebagai langkah penting untuk menyokong wawasan negara ke arah mengekalkan keunikan Brunei di peringkat global.
Bengkel tersebut adalah julung kali diadakan oleh RB bagi menyampaikan konsep MIB kepada seluruh kakitangan barisan hadapan, dengan harapan ia dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memperluas pengetahuan dan kefahaman mengenai nilai-nilai MIB kepada seluruh warga RB.