Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel pastri asah kemahiran keusahawanan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Berserumpun Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mukim Mentiri melalui Biro Wanita telah menganjurkan Bengkel Membuat Roti di Pusat Pembangunan Belia, Kampung Tanah Jambu kelmarin.

    Program sulung berkenaan dipengerusikan oleh MPK Biro Wanita dan turut mendapat sokongan daripada Penghulu Mukim Mentiri, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad, yang juga merupakan Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Kampung Panchor.

    Turut hadir memeriahkan program ialah ahli-ahli MPK Berserumpun Kawasan 4 serta para ibu tunggal dan suri rumah tangga yang berminat dalam bidang keusahawanan, khususnya dalam pembuatan kuih-muih dan makanan.

    Antara objektif utama bengkel ini adalah untuk menarik minat serta memberi dorongan kepada para peserta dalam menjana pendapatan sampingan, terutamanya dalam bidang pembuatan roti dan makanan, selaras dengan usaha MPK dalam memperkasakan komuniti wanita agar lebih berdikari dan berdaya saing.

    YM Chef Norhani bin Haji Syawal, salah seorang tenaga pengajar dari Pusat Pembangunan Belia, telah membimbing seramai 29 peserta secara praktikal sepanjang bengkel tersebut.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta yang disempurnakan oleh Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Belia, YM Haswandi bin Haji Osman.

    Program berkenaan turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan para peserta melahirkan rasa puas hati serta berharap lebih banyak program seumpamanya diadakan oleh MPK Biro Wanita Berserumpun Kawasan 4 RPN Kampung Panchor pada masa akan datang.

       

    Semua di atas: Antara suasana semasa bengkel berkenaan.

    Antara yang menerima sijil penyertaan daripada tetamu kehormat.
    Sesi bergambar ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda