BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tungku dan Katok telah menganjurkan satu bengkel pastri yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di PPB, Kampung Tanah Jambu, pada hari ini.
Bengkel berkenaan disertai oleh seramai 16 orang peserta daripada kalangan ahli Biro Wanita MPK Tungku dan Katok.
Majlis penyampaian sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah PPB, Awang Aswandi bin Haji Osman.
Turut hadir, Ketua Biro Wanita MPK Tungku dan Katok, Dayang Saleha binti Haji Liman.
Melalui penganjuran bengkel tersebut, para peserta diharap dapat memperoleh manfaat dari segi kemahiran, dorongan serta minat untuk menceburi bidang keusahawanan sekali gus berpotensi menjana pendapatan sampingan dalam bidang tersebut.

