Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel Pematuhan Halal tingkat kefahaman kepada peserta

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Seramai 30 peserta daripada pemegang-pemegang sijil atau permit halal terdiri daripada para pemilik, pengurus atau pengusaha premis perniagaan makanan dan selain makanan yang telah mendapat Sijil Halal dan Permit Halal daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) hari ini menerima sijil penyertaan Bengkel Pematuhan Halal anjuran Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) yang berlangsung di Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Majlis tersebut diadakan selama dua hari bermula kelmarin dan hari ini, adalah bagi meningkatkan kefahaman kepada pemegang-pemegang sijil atau permit Halal mengenai kewajipan untuk sentiasa menjaga kehalalan, kebersihan dan keselamatan produk terutama dalam pengendalian dan penghasilan produk makanan dan selain makanan.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta bengkel ialah Setiausaha Tetap, KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

    Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap, KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang; Pengarah Hal Ehwal Syariah, Haji Suhaimi bin Haji Gemok; Pengarah Pentadbiran, KHEU; Awang Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali, Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Awang Abuzar bin Haji Mohdamad Tahir; Pemangku Pengarah Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan, Pengiran Hajah Sofiah binti Pengiran Haji Bakar; dan Ketua Pegawai Eksekutif, Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA), Wong Wai See.

    Di samping itu, bengkel berkenaan adalah untuk memberi kesedaran kepada para pemegang sijil atau permit Halal untuk menghargai akan kelebihan pemberian Sijil Halal dan Permit Halal.

    Haji Mohammad Rosli menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Awang Mohammad Kamal Mujaddid berkata bengkel berkenaan adalah sangat penting untuk mengetahui akta terkini yang diterapkan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Awang Mohammad Kamarul Rizzam semasa ditemu bual. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    Bengkel itu juga merupakan kesinambungan inisiatif BKMH, Jabatan Hal Ehwal Syariah susulan daripada dua program iaitu Program Pengukuhan Penyeliaan Halal (PPPH) dan Program Peningkatan Kesedaran Mengenai Halal (PPKMH) yang berjaya dilaksanakan sejak tahun 2018.

    Menurut Penyelia HR dari SKH Trading Company, Awang Mohammad Kamarul Rizzam bin Untong, ketika ditemu bual berkata, bengkel berkenaan banyak memberi ilmu yang bermanfaat seperti proses-proses permohonan Sijil Halal, Permit Halal, dan mendengar taklimat yang disampaikan oleh BDFA dan konsultan makanan mengajar tentang keselamatan, kebersihan terutama sekali di bahagian makanan.

    Menyentuh mengenai faedah bengkel berkenaan, bengkel itu sangat membantu dalam memberi pengalaman yang lebih baik terutamanya dalam bahagian restoran dan penyediaan makanan.

    Beliau berkata, sepanjang bengkel berkenaan, para peserta juga mendengarkan taklimat mengenai kawalan makanan halal memfokuskan kepada Sijil Halal dan Permit Halal, permohonan bagi mendapatkan sijil halal dan sebagainya.

    Awang Mohammad Kamal Mujaddid bin Kamal Hisham, dari Syarikat Sabli Food berkata, sebagai orang baharu di syarikat itu, bengkel berkenaan merupakan satu pendedahan yang terbaik dan terbaharu seperti bagaimana cara untuk menguruskan sijil halal, bagaimana cara permohonan terkini dan terbaharu.

    Sepanjang menyertai bengkel berkenaan, perkara-perkara penting yang didedahkan adalah mengenai jenis-jenis pencemaran, jenis-jenis bahaya dan pemprosesan makanan, dan perkara itu sangat penting di Syarikat Sabli Food di mana beliau banyak menguruskan dalam pemprosesan makanan dan perkara itu berkait rapat dengan industri yang diceburinya ketika ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda