Tuesday, February 25, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel pengadil berjalan lancar

    Oleh Hasrulraizan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov –Bengkel Pengadil Bola Jaring Bagi Pengadil Bola Jaring bagi Guru-guru Sekolah Rendah, Menengah, Maktab dan Pendidikan Swasta Seluruh Negara 2017 diteruskan pada hari ketiganya hari ini dengan Sesi Amali di sebelah petang.

    Sesi Amali yang merangkumi perlawanan, sesi amali pengadilan dan jurulatih/mentor di dalam gelanggang terbuka, Sekolah Sukan itu telah diserikan lagi dengan kehadiran Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum.

    Bengkel yang disertai seramai 33 orang peserta itu merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Perkembangan dan Latihan Sukan dengan kerjasama dan bantuan Kedutaan Australia dan Netball Australia.

    Pemudahcara bengkel selama empat hari itu ialah Dayang Siti Rauufah binti Haji Omarali, sementara Dianne Cocker, AA Bedge Umpire, Australian Netball sebagai Jurulatih Pengadil (Umpire Coach).

    Dianne Cocker semasa memantau Sesi Amali Bengkel Pengadil Bola Jaring, sementara kelihatan para peserta tekun melibatkan diri dalam bengkel tersebut.

    Bengkel bermatlamat untuk menambah bilangan guru-guru yang boleh mengadili permainan bola jaring, memberikan pengetahuan asas utama dan protokol semasa mengadili sesebuah perlawanan, menanamkan sifat percaya diri yang mesti ada pada diri seorang pengadil dan memberikan kefahaman peraturan permainan yang terkini.

    Manakala objektifnya pula adalah supaya guru-guru dapat mempelajari teknik pengadilan yang digunakan di peringkat antarabangsa dan dapat mengetahui tatacara/protokol dan personaliti yang perlu ada pada diri seorang pengadil.

    Selain itu juga menjadi medan persediaan pengendalian kejohanan sama ada di peringkat serantau atau antarabangsa seperti Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda