Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 11 JULAI – Seramai 45 belia dari Daerah Belait telah menamatkan bengkel dalam mempelajari selok-belok dan butiran mengenai pengemasan (housekeeping) dan perkhidmatan ketika majlis penutupnya diadakan pada hari ini.
Bengkel itu yang dianjurkan oleh Unit Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait dengan kerjasama Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Hotel V-Plaza, bertujuan untuk memupuk pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan tentang kemahiran asas pengemasan dan perkhidmatan.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis penutup itu ialah Pengurus Besar V-Plaza Hotel, Alvin Hiew.
Setelah menyelia bengkel yang diadakan sejak tiga hari lalu, Alvin menyatakan dalam ucapan alu-aluannya bahawa banyak pengetahuan dan kemahiran yang dikongsikan adalah berkaitan dengan kerja yang dilakukan di hotel mereka dan bidang perhotelan yang lebih luas.
“Kami berharap kemahiran dan pengetahuan berharga yang awda perolehi akan memberi manfaat kepada awda dalam kerjaya masa depan awda dan juga membantu awda berkembang dan berjaya dalam industri hotel,” tambahnya.
Beliau turut mengalu-alukan mereka yang ingin meneruskan kerjaya yang berpotensi dalam bidang tersebut.
“Saya juga ingin berkongsi dengan awda bahawa Hotel V-Plaza, Hotel Plaza Sutera Biru dan Hotel Gateway di Daerah Belait semuanya berada di bawah pengurusan yang sama, di mana lebih daripada 90 peratus kakitangan kami adalah warga tempatan yang bekerja di pelbagai bahagian.
“Kami juga mengalu-alukan warga Brunei yang mempunyai kelayakan khusus dalam industri pengemasan untuk mempertimbangkan bagi menyertai kami.
“Dengan sokongan padu daripada pengurusan kami, saya amat yakin bahawa awda akan maju dalam kerjaya jika awda berusaha untuk bekerja dengan kami,” kongsinya.
Sementara itu, wakil peserta bengkel, Dayang Amal Nabilah binti Haji Mohd Zul-Atfi turut berkongsi pengalaman dalam bengkel tersebut sambil berterima kasih bagi pihak semua peserta kerana dapat menyertai bengkel tersebut.
“Semasa bengkel selama tiga hari ini, kami mempelajari beberapa pengetahuan dan kemahiran penting dalam pengemasan dan perkhidmatan asas yang kami tidak akan tahu jika tidak kerana bengkel ini, terutamanya butiran dan kerja yang berkaitan dengan perkhidmatan pengemasan dan hospitaliti,” tambahnya.
Beliau berharap bengkel itu akan memberi manfaat kepada mereka bukan sahaja dalam mengejar kerjaya masa depan dalam bidang hospitaliti tetapi juga dalam meningkatkan kehidupan seharian mereka.
Selepas ucapan, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta oleh tetamu kehormat dan bergambar ramai bagi memperingati majlis tersebut.
Turut hadir ialah Rakan Urusan, Dr Chong Huang Ming; Pemangku Ketua Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Belait, Gaung Jamit; Pengetua Kampus Satelit IBTE, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab; Ketua Pusat Pengajian Hospitaliti dan Pelancongan IBTE, Awang Mohd Kamarul Izzudin bin Haji Kamaluddin; dan Penghulu Mukim Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin.