Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Dengan hasrat untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang pengurusan jenazah dengan tertib dan sempurna, Ar-Razaq Funeral Management telah mengadakan Bengkel Pengurusan Jenazah yang berlangsung di Masjid Kampung Bunut, baru-baru ini.
Bengkel yang dihadiri oleh lebih 30 orang peserta itu telah dikendalikan oleh Awangku Ahmad Fathurrahman Nur Firdaus bin Pengiran Haji Hassanudin dan dibantu oleh dua orang penggapai, Haji Burhanuddin bin Haji Damit dan Dayang Norlila binti Mohammad.
Kursus penuh kerohanian tersebut diisikan dengan adab-adab memandikan jenazah, bagaimana mengapankan jenazah, menyembahyangkan jenazah dan cara-cara mengebumikan jenazah mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Antara tujuan bengkel bertajuk ‘Pakaian di Alam Barzakh’ itu adalah untuk menggalakkan percambahan ilmu dalam kalangan para peserta dan memenuhi tuntutan sebagai salah satu kewajipan fardu kifayah yang tepat dan seiring dengan syariat Islam dalam menjalankan kehidupan seharian, sekali gus mendidik diri dan jiwa untuk sentiasa ingat akan hari kematian.
Di samping itu, ia juga diharap untuk memberi inspirasi kepada peserta untuk mengongsikan ilmu yang dipelajari nanti kepada ahli keluarga khasnya dan masyarakat amnya. Selain itu, ia juga dihasratkan untuk meningkatkan lagi jumlah pekerja sebagai penggapai di negara ini.
