Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Seramai 45 orang peserta telah menyertai Program Penulis Muda: Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir petang tadi di Balai Sarmayuda, DBP.
Daripada jumlah tersebut, 35 orang peserta berusia dalam lingkungan 15 hingga 40 tahun, manakala 10 orang peserta lagi melebihi had umur yang ditetapkan namun tetap menunjukkan minat untuk menyertai program berkenaan.
Hadir menyampaikan sijil dan cenderamata ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab. Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.
Pembimbing bengkel, Nisah Haron dalam ucapannya menyatakan bahawa semua peserta berpotensi menghasilkan cerpen yang baik dan berkualiti, malah ada antara karya mereka sesuai diterbitkan dalam majalah Bahana terbitan DBP.
Beliau turut mengesyorkan agar diadakan program susulan pemurnian cerpen sebagai galakan dan sokongan berterusan kepada penulis muda dalam melahirkan karya sastera berkualiti.
Bengkel berakhir dengan persembahan bacaan fragmen cerpen daripada beberapa penulis muda terpilih, diikuti dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada pembimbing serta peserta yang terdiri daripada wakil jabatan kerajaan, guru, mahasiswa institusi pengajian tinggi dan individu berminat dalam bidang penulisan kreatif.
Penganjuran bengkel berkenaan telah mencapai salah satu objektif utamanya iaitu memberi bimbingan penulisan secara bersistematik dan terarah di bawah panduan pakar sastera serta penulis mapan, sekali gus membantu melahirkan lebih ramai penulis muda berbakat dan berkemahiran dalam genre cerpen.



