Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Bengkel Penulisan Esei Ilmiah Sastera 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menutup tirainya kelmarin dengan majlis penyampaian sijil.
Hadir selaku tetamu khas majlis bagi menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada pembimbing dan para peserta bengkel ialah Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.
Bengkel berkenaan dipercayai mampu mencapai objektif bagi memberikan bimbingan dan kefahaman dalam menguasai penulisan esei ilmiah sastera yang berhubung dengan prinsip-prinsip penulisan dalam bahasa Melayu yang berkualiti dan mempertingkatkan kualiti penulisan esei ilmiah sastera sebagai bahan penerbitan jurnal terbitan DBP.
Selain itu juga memantapkan penulis-penulis sedia ada serta melahirkan penulis baharu yang berpotensi dan menyingkap gagasan penullis ke arah pembentukan jati diri dalam penulisan sebuah wacana sastera dan mengenal pasti serta meneliti esei-esei yang berkualiti.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin, ketua-ketua bahagian dan pemangku-pemangku ketua bahagian serta para pegawai DBP.