BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Organisasi Alumni Program Penulisan MASTERA (OPERA) Brunei Darussalam telah mengadakan Bengkel Penulisan Puisi di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas baru-baru ini.
Bengkel berkenaan bertujuan untuk memberi ruang kepada penulis baharu mahupun penulis berpengalaman untuk mengembangkan bakat dan menghalusi teknik penulisan mereka.
Bengkel dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan ucapan alu-aluan daripada Ketua OPERA, Awangku Mohammad Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup sebelum bengkel dikendalikan oleh Penolong Pensyarah Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr Syahwal Nizam bin Haji Yani.
Antara pengisian bengkel adalah penulisan sajak dan puisi termasuk sesi memperbaiki hasil kerja peserta secara terperinci oleh Dr Syahwal yang juga merupakan Ketua Koordinator Penulisan Kreatif dan seorang alumni organisasi.
Bengkel sedemikian diharapkan sebagai salah satu usaha oleh OPERA dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya dalam negara.
Semua di atas: Antara suasana semasa bengkel berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN OPERA