Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel perjelas dasar biodiversiti negara dilaksanakan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Sebagi satu inisiatif berterusan bagi memastikan sasaran dan tindakan dasar biodiversiti di bawah Dasar Biodiversiti Negara dan Pelan Tindakan Strategik 2024-2030 (NBPSPA) dapat dilaksanakan dengan lebih jelas, berkesan dan sejajar dengan matlamat serta perancangan pembangunan negara, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Perhutanan mengadakan Bengkel Merangka Pelan Pelaksanaan NBPSPA yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

    Sehubungan dengan itu, bengkel selama tiga hari bermula hari ini, 26 hingga 28 Ogos telah dirasmikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Turut hadir pada perasmian berkenaan dan menyampaikan ucaptama ialah Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim.

    Hajah Tutiaty yang menghadiri perasmian bengkel berkenaan.

    Dalam ucaptamanya yang bertajuk Commitment to Biodiversity Conservation: Advancing Brunei Darussalam’s Progress through the KMGBF and NBPSPA, Dayang Noralinda memberikan penerangan mengenai biodiversiti Negara Brunei Darussalam yang unik dan kaya.

    Beliau turut memberikan penerangan mengenai usaha pengurusan biodiversiti dan menerangkan mengenai dengan Dasar Biodiversiti Negara dan Pelan Tindakan Strategik 2024 – 2030 (NBPSPA), Konvensyen Mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD) serta Kunming-Montreal Global Biodiversity framework (KMGBF).

    Dayang Noralinda menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan.

    Dalam ucaptama berkenaan, Dayang Noralinda menyatakan kesimpulannya adalah penting untuk menyedari bahawa setiap pihak mempunyai peranan penting dalam pemuliharaan dan perlindungan biodiversiti.

    Beliau menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam perlu kekal teguh dalam komitmennya untuk mencapai objektif global dalam hal, mempertingkatkan strategi pengurusan untuk memastikan sumber asli yang tidak ternilai dan ekosistem yang pelbagai dipelihara untuk manfaat generasi akan datang.

    Beliau juga menyatakan bahawa pelaksanaan inisiatif NBPSPA boleh mewujudkan petunjuk yang jelas dan menggesa semua pihak berkepentingan untuk mengutamakan isu berkenaan dengan kesungguhan yang wajar.

    “Secara kolektif, kita boleh memberi impak yang besar dalam mengurangkan kehilangan biodiversiti,” ujarnya.

    Bengkel berkenaan disertai oleh wakil daripada beberapa buah agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor swasta dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berkepentingan dalam pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti.

    Ia juga merupakan satu inisiatif berterusan bagi memastikan sasaran dan tindakan dasar biodiversiti di bawah NBPSPA dapat dilaksanakan dengan lebih jelas, berkesan dan sejajar dengan matlamat serta perancangan pembangunan negara.

    Selain itu, bengkel juga bertujuan untuk mengemas kini keperluan-keperluan terkini selaras dengan garis panduan KMGBF yang telah dipersetujui di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CBD) dan akan menumpukan kepada perincian dan pembangunan lanjut terhadap tindakan-tindakan khusus berdasarkan sasaran yang digariskan dalam dasar biodiversiti NBPSPA, serta penetapan agensi peneraju dan agensi sokongan bagi setiap sasaran dan tindakan berkenaan.

    Dasar biodiversiti NBPSPA mengandungi empat Matlamat, 18 Sasaran dan 50 Tindakan, berperanan sebagai panduan dan strategi bagi pengurusan sumber biodiversiti negara secara mampan sehingga 2030 serta turut memberikan penekanan terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara.

    Negara Brunei Darussalam akan sentiasa tetap komited dan akan terus menyokong segala inisiatif yang berkaitan dengan pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti. Pengurusan biodiversiti secara mampan amat penting bagi menjamin kesejahteraan sosial, kemakmuran ekonomi serta kestabilan alam sekitar, bukan sahaja untuk manfaat generasi masa kini, malah demi kelangsungan hidup generasi akan datang.

    Semua di atas: Antara peserta bengkel berkenaan.
    Sesi bergambar ramai Hajah Tutiaty bersama jemputan khas dan peserta bengkel berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda