Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 38 peserta telah menyertai Bengkel Latihan Tenaga Pengajar: Penceramah Tadabbur Al-Quran Bertauliah yang dikendalikan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Penyebaran Dakwah (Ceramah) dengan kerjasama Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis Madang.
Bengkel tersebut berlangsung selama empat hari bermula 17 hingga 20 November di dewan Masjid SSBRPAD.
Peserta terdiri daripada 17 da’ie PDI, 10 pegawai Jabatan Hal Ehwal Masjid, tiga pegawai Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMAAT), dua pegawai pelajaran Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, serta lapan wakil Masjid SSBRPAD, Kampung Manggis Madang.
Bengkel berkenaan turut membawakan Pengarah Urusan Syarikat Tadabbur Centre Sdn Bhd, Malaysia, Syahmi Syazeril Azmi sebagai fasilitator.
Objektif bengkel tersebut adalah untuk memantapkan ilmu dan meningkatkan keyakinan para da’ie dalam menyampaikan mesej Al-Quran secara berkesan, berpandukan tafsir yang muktabar, di samping mengukuhkan kefahaman dalam bidang tadabbur dan kemampuan mengamati ayat-ayat Al-Quran berkaitan kehidupan seharian.
Bengkel juga berperanan meningkatkan kemahiran penyampaian dakwah, seiring era transformasi digital, serta membuka ruang pertukaran pandangan antara peserta dan fasilitator dalam usaha memartabatkan syiar Islam di negara ini.
Secara keseluruhan, ia membantu para da’ie memahami, menghayati dan mengamalkan kandungan Al-Quran secara sistematik, sekali gus mempertingkatkan kemampuan mereka menyampaikan ilmu tadabbur Al-Quran kepada masyarakat.


