Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel Pickleball tarik perhatian pengunjung

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 4 JUNPickleball merupakan sukan untuk semua peringkat umur kerana ia bukan sahaja mudah untuk dipelajari dan bermain dengan peraturan yang sama seperti badminton dan tenis, malah menyeronokkan untuk seisi keluarga kerana ia boleh dinikmati oleh belia dan juga warga emas.

    Kenyataan tersebut dibuat oleh Duta Pickleball dan Ketua Pickleball Brunei, Layla Abdullah semasa bengkel Pickleball yang pertama kali diadakan di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC) kelmarin.

    Dianjurkan oleh Pickleball Brunei dengan kerjasama Persatuan Pickleball Malaysia (MPA) dan Persatuan Pickleball Sarawak (SPA), bengkel tersebut menyaksikan para hadirin belajar daripada jurulatih jemputan daripada dua persatuan pickleball berkenaan yang telah meluangkan masa dan kepakaran mereka untuk mengajar mengenai asas-asas sukan tersebut.

    Bercakap mengenai bengkel itu, Layla menekankan bagaimana sukan ini boleh dimainkan dengan mudah di gelanggang bersaiz badminton.

    “Ramai orang beranggapan bahawa pickleball hanya dimainkan oleh golongan pesara dan orang tua. Tetapi sebenarnya ia tidak benar kerana ia boleh dinikmati oleh pemain daripada semua peringkat umur kerana ia adalah permainan keluarga yang menyeronokkan,” tambahnya.

    Beliau juga menyatakan bahawa bengkel itu bertujuan untuk membantu memberi para peserta gambaran ringkas tentang pickleball, tatacara dan peraturan, serta bagaimana perlawanan biasanya dimainkan dengan mengambil bahagian dalam permainan pickleball bersama jurulatih jemputan, yang diketuai oleh Presiden MPA, Nicholas Farrell Choo, dan Presiden SPA, Delina Ibrahim.

    “Kami ingin membantu memperkenalkan sukan pickleball kerana ia adalah sukan yang kurang diketahui di Brunei, dan kami berharap dapat meneruskan bengkel ini ke Daerah Brunei-Muara pada minggu depan.”

    Layla yang baru sahaja menubuhkan kumpulan Pickleball Brunei juga berharap penganjuran bengkel pertama sukan ini akan dapat meningkatkan kesedaran dan rasa ingin tahu orang ramai. Dia turut menggesa mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sukan itu supaya mengikuti Instagram @PickleballBrunei untuk aktiviti yang akan datang.

    Gambar ramai semasa bengkel berkenaan.
    Layla semasa ditemu bual oleh pihak media.
    Antara pengunjung yang berminat dengan sukan pickleball.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda