Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel Projek Sayang Diri pupuk kesedaran mental kalangan pelajar

    Oleh Sim Y. H. –

    TEMBURONG/TUTONG, 3 MAC – Dalam usaha untuk mengukuhkan kesihatan mental dan kesejahteraan diri dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini, Pusat Promosi Kesihatan (PPK) melalui Unit Strategi Kesihatan Mental (USKM) sekali lagi berkerjasama dengan Big Begawan Project (BBP) mengadakan Bengkel Projek Sayang Diri (BPSD) yang berlangsung di Sekolah Menengah Sultan Hassan, Daerah Temburong, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, seramai kira-kira 90 orang peserta telah mengambil bahagian dalam sesi bengkel berkenaan terdiri daripada para pelajar yang terpilih dari sekolah menengah di Daerah Temburong.

    Sesi bengkel berkenaan juga telah dihadiri oleh pengasas serta ahli-ahli BBP ketua dan beberapa orang pegawai dari USKM.

    Bengkel itu juga merupakan salah satu initiatif kerjasama di bawah memorandum persefahaman Friends of HPC di antara PPK dan BBP.

    Aktiviti berkenaan juga merupakan salah satu aktiviti penting yang terkandung di dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental 2022 – 2025 khususnya di dalam Strategi 1: Mengukuhkan Kepimpinan dan Tadbir Urus yang Berkesan untuk Kesihatan Mental.

    Sementara itu, sesi bengkel yang sama juga telah diadakan sebelum ini di Sekolah Menengah Tanjong Maya, Daerah Tutong, yang dihadiri oleh seramai 120 orang pelajar.

    BPSD bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutama dalam kalangan pelajar sekolah menengah iaitu tentang kepentingan kesihatan mental dan penjagaan kesejahteraan diri, serta melengkapkan para pelajar dengan alat untuk mengenal pasti dan pengurusan kesejahteraan mental mereka.

    Di samping itu, bengkel itu berhasrat sebagai sebuah platform untuk mengalakkan perbualan terbuka tentang kesihatan mental dalam kalangan rakan sebaya.

    Bengkel yang dijalankan selama sehari berkenaan diisikan dengan taklimat yang berkaitan dengan kepentingan kesihatan mental dan membincangkan tentang kesalahfahaman serta cara-cara memberhentikan stigma terhadap kesihatan mental.

    Pada masa yang sama, bengkel itu juga menyelitkan beberapa aktiviti penerapan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan diri serta mengongsikan cara-cara untuk menjadi pendengar yang baik.

    Para pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar, Daerah Temburong, semasa menghadiri BPSD. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PROMOSI KESIHATAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda