Bengkel promosi warisan budaya

KOREA SELATAN – Dengan harapan untuk mempromosikan warisan budaya tidak ketara kepada orang ramai, Pusat Warisan Tidak Ketara Kebangsaan (NIHC) di Jeonju, Wilayah Jeolla Utara, mengadakan bengkel khas setiap Sabtu hingga November.

Program ini dibahagikan kepada tiga bahagian, permainan cerita rakyat di luar bangunan, bengkel kraftangan tradisional dan warisan tidak ketara dalam kehidupan seharian. Pengunjung boleh mempelajari permainan tradisional, termasuk melontar panah ‘tuho’, permainan papan tradisional ‘yutnori’, ‘jegichagi’, ‘ttakjichigi’ dan memanah Korea.

Semua permainan luar bangunan akan diadakan mulai jam 1 petang hingga 3:30 petang diiringi oleh tenaga pengajar. Pengunjung juga boleh mempelajari cara membuat kincir, kipas, layang-layang dan gasing. Sesiapa sahaja boleh menyertai permainan secara bebas di halaman NIHC.

Bengkel kraf akan diadakan mulai jam 2 petang hingga 5 petang di bilik kuliah NIHC. Bengkel yang ditawarkan adalah kelas membuat simpulan dan perabot kayu kecil. Peserta yang baru mula belajar juga dialu-alukan mengikuti bengkel. Sehingga 10 orang dewasa diterima setiap hari, dengan tempahan awal diperlukan. Bengkel adalah percuma tetapi peserta perlu membayar kos bahan yang akan disediakan.

Bahagian terakhir mengenai warisan budaya tidak ketara dalam kehidupan seharian akan diadakan dari Mei hingga Jun dan sekali lagi dari September hingga Oktober. Bengkel juga akan berlangsung dari jam 2 petang hingga 5 petang – ANN/The Korea Herald

Gambar fail menunjukkan seorang pelawat mempelajari pembuatan tembikar Korea yang diketuai oleh pengajar profesional semasa bengkel NIHC pada tahun 2019. – ANN/The Korea Herald