Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Bengkel Closing the Gap Workshop 2024 yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini di Four Points by Sheraton Bangkok Ploenchit, telah mengumpulkan pemegang berkepentingan di seluruh ASEAN bagi menangani jurang kemahiran yang mendesak dalam sektor agrimakanan.
Bengkel anjuran Pejabat Suruhanjaya Pendidikan Vokasional (OVEC) Thailand dengan kerjasama SEAMEO VOCTECH dan EU-ASEAN Pakej Ketersambungan Mampan-Program Pengajian Tinggi (SCOPE-HE), itu antara lain bertujuan untuk menyelaraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan keperluan industri agrimakanan yang semakin berkembang.
Pada bengkel tersebut, Pengarah Bahagian Pembangunan Sektor Awam di OVEC, Dr Rangsan Thepmondhri, menekankan kepimpinan Thailand dalam inisiatif ini dengan menyatakan, “Thailand berbangga untuk mengambil peranan utama dalam memajukan kerjasama TVET di seluruh ASEAN”.
Beliau menjelaskan peranan tersebut melalui inisiatif seperti bengkel berkenaan yang menunjukkan komitmen untuk menyokong pembangunan tenaga kerja yang terampil dan bersedia untuk masa depan dalam sektor agrimakanan.
Pasukan pengurusan dan pegawai dari SEAMEO VOCTECH, yang diketuai oleh Pengarah Pusat, Haji Norjemee bin Jenek, bersama-sama dengan Bahagian Penyelidikan Pusat, Dr Paryono dan Dr Hartini Mashod, telah membentangkan penemuan awal kajian Kebolehpekerjaan Graduan Vokasional dalam Sektor Agrimakanan di ASEAN untuk EU-ASEAN SCOPE-HE.
Pembentangan tersebut telah disampaikan oleh wakil-wakil kerajaan, institusi TVET dan pegawai sektor swasta dari negara-negara anggota ASEAN.
Bengkel tersebut dibantu oleh Dr Paryono, yang mana kajian itu menyediakan asas untuk perbincangan mengenai pemetaan isu-isu utama, mengenal pasti jurang kemahiran dan meneroka amalan terbaik dalam kebolehpekerjaan melalui pembentangan dan perbincangan kumpulan.
Dalam tempoh empat tahun akan datang, satu siri bengkel berterusan akan membincangkan penyelesaian, memantau kemajuan dan akan berakhir dengan peringkat akhir yang mempamerkan amalan terbaik serta memberikan cadangan strategik untuk masa depan.
Bengkel tersebut merupakan sebahagian siri berbilang tahun di bawah program SCOPE-HE dengan acara tahunan yang dirancang di seluruh ASEAN dan bengkel terakhir dilaksanakan pada tahun 2027.